Gates nafi boleh jejak manusia dengan suntikan vaksin

Bill Gates
Bill Gates
A
A
A

LONDON - Pengasas bersama Microsoft, Bill Gates berkata baru-baru ini bahawa teori yang mendakwa dia boleh menjejaki orang ramai melalui mikrocip dalam suntikan vaksin Covid-19 sebagai 'gila'.

Gates menyatakan demikian dalam satu wawancara dalam program Today terbitan Radio BBC.

"Anda hampir perlu ketawa kerana ia sangat gila," katanya dalam program tersebut.

Satu teori konspirasi telah tersebar luas sejak dua tahun lalu di media sosial.

Teori itu mendakwa Gates mahu menggunakan vaksinasi besar-besaran untuk menanam mikrocip ke dalam tubuh manusia supaya dia boleh menjejakinya secara digital.

Namun, Gates sentiasa menafikannya tetapi penafian yang dilakukan itu belum cukup untuk memadamkan teori tersebut.

"Maksud saya, adakah saya benar-benar mahu menjejaki orang?

"Saya membelanjakan berbilion-bilion untuk vaksin.

"Saya tidak membuat wang untuk vaksin.

"Vaksin menyelamatkan nyawa, ia tidak menyebabkan kematian.

"Jadi, beberapa orang pernah menjerit kepada saya bahawa saya telah menjejaki mereka dan itu adalah perkara yang mengerikan," ujarnya. - Agensi