Naik taraf Unit Pembahagian Pusaka selesai hujung tahun

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A
KOTA BHARU - Proses menaik taraf Unit Pembahagian Pusaka kepada sebuah jabatan di negara ini dijangka selesai pada hujung tahun ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, proses tersebut kini dalam rundingan berkaitan peruntukan, penelitian infrastruktur dan perjawatan yang turut membabitkan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Katanya, unit di bawah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) akan dinaik taraf kepada jabatan yang akan berada di bawah kelolaan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) dengan jawatan tertinggi Ketua Pengarah pada peringkat persekutuan.

“Saya melihat keperluan cukup mendesak untuk menaik taraf Unit Pembahagian Pusaka kepada sebuah jabatan kerana banyak kes tertunggak membabitkan permohonan dan pembahagian harta pusaka.

“Jabatan ini akan berperanan mengendalikan harta tak alih seperti tanah atau bangunan dan harta alih seperti kenderaan yang nilaiannya di bawah RM600,000 manakala lebih daripada itu perlu di bawa ke mahkamah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 1443H Menteri Tenaga dan Sumber Asli di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Lembah Sireh, di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, peranan unit pembahagian harta pusaka sedia ada cukup besar kerana semua orang Islam sedikit sebanyak mempunyai harta pusaka.

“Unit ini akan menjadi sebuah jabatan yang lebih besar di bawah KETSA kerana membabitkan hal tanah dalam pembahagian harta pusaka.

“Saya menjangkakan tahun ini akan selesai dan wujudnya satu jabatan yang khusus di peringkat persekutuan dan akan ada di peringkat negeri-negeri juga berbanding sekarang ini hanya sebagai satu unit sahaja di JKPTG,” katanya.

Tambah beliau, perkara tersebut sudah dibentangkan dalam Parlimen baru-baru ini supaya proses-proses menaik taraf unit kepada jabatan tersebut menjadi lebih mudah.

“Hal-hal pembahagian harta pusaka kebanyakan rumit dan mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk selesai.

“Jadi, saya pun sudah mengarahkan JKPTG meneliti perkara ini dan kita percepatkan kerana kadang-kadang ada penerima pusaka sudah meninggal dunia, itu kita tidak mahu proses pembahagian harta pusaka itu terlalu lambat,” katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Unit Pembahagian Pusaka, JKPTG menerima kira-kira 60,000 permohonan baharu berkaitan pembahagian pusaka pada setiap tahun dan menunjukkan trend peningkatan dari semasa ke semasa.