Anak bongsu meracau rindukan ibu

Nazaruddin bersama keluarganya ketika sesi bergambar pada raya tahun lepas
Nazaruddin bersama keluarganya ketika sesi bergambar pada raya tahun lepas
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia khususnya umat Islam sudah tentu teruja untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga selepas dua tahun tidak dapat pulang ke kampung disebabkan penularan Covid-19.

Bagaimanapun, situasi bapa tunggal, Nazaruddin Jaafar, 43, dan anak-anaknya berbeza apabila mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini tanpa isteri tercinta, Marzuzilawati Mansor, 44.

Nazaruddin yang bekerja sebagai penjaga stor itu mengakui pemergian arwah isterinya akibat Covid-19 ternyata memberi kesan kepada empat anaknya terutama ketika menyambut bulan Ramadan dan hari raya.

“Tahun ini, yang akan uruskan persiapan raya tahun ini adalah anak sulung perempuan saya (Nur Hani Izzati Nazaruddin, 21). Saya cuma beri duit sahaja, segala persiapan raya semua anak saya yang buat.

“Sebab sebelum ini orang rumah saya yang buat, jadi untuk tahun pertama raya (tanpa isteri) ini, rasa lain sedikit untuk menyambut Syawal,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Nazaruddin, anak-anaknya masih lagi merindui arwah ibu mereka memandangkan ini merupakan tahun pertama menyambut perayaan tanpa kehadiran Allahyarham lebih-lebih lagi anak bongsunya, Muhammad Iman Nawfal Nazaruddin, 9.

“Pada waktu awal Ramadan, dia sudah demam panas. Dia teringat sangat ibunya sebab kali pertama mak dia tidak ada.

“Tiga hari dia demam panas, malam pula dia meracau sebab rindu mak dan masakannya pada bulan puasa,” katanya.

Mengimbas detik pemergian arwah, Nazaruddin berkata, isterinya meninggal dunia pada tahun lepas selepas disahkan positif Covid-19.

“Pada bulan Jun lalu, saya dijangkiti Covid-19 dari tempat kerja. Keluarga saya juga turut disahkan positif Covid-19 pada waktu itu,” katanya.

Nazaruddin berkata, dia menjalani kuarantin di rumah bersama dua anak manakala isteri terpaksa dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) bersama dua lagi anaknya.

“Ketika di rumah, keadaan arwah masih pada tahap biasa tetapi bila tiba di MAEPS, keadaan semakin teruk sehingga terpaksa dipindahkan ke Hospital Ampang dan meninggal dunia di sana,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nazaruddin berkata, sebagai bapa tunggal dia perlu bertabah dan sentiasa ada di sisi untuk anak-anaknya.

“Dari segi perasaan, depan anak-anak kita tidak boleh tunjuk yang kita ini tidak kuat. Kena kuat dan tabah sebab kalau kita sedih, anak-anak kita pun akan turut sama,” jelasnya.