Masa bina semula karakter Leicester City

Brendan Rodgers
Brendan Rodgers
A
A
A

PEMAIN Leicester City dinasihati memanfaatkan pengalaman disingkirkan AS Roma dari saingan Liga Konferensi dengan memberikan persembahan terbaik mengharungi baki saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Pengendali Leicester City, Brendan Rodgers berkata, pemain The Foxes telah menikmati pengalaman penting di pentas Eropah sejak beberapa musim termasuk aksi berintensiti tinggi di Rome.

“Kini masa untuk membina semula karakter pasukan ini bermula dengan baki saingan liga yang merupakan pentas penting selepas tersingkir dari kejuaraan Liga Konferensi.

Bagaimanapun menurutnya, kelemahan ketara Leicester City musim ini adalah ketika situasi bola mati yang diterjemahkan sebaiknya pemain AS Roma di Rome.

“AS Roma beraksi lebih baik di babak pertama walaupun tidak banyak peluang dicipta. Kami bangkit di babak kedua tetapi gagal menghasilkan sesuatu. Masalah utama kami musim ini adalah situasi bola mati.

“Pasukan ini masih muda yang sentiasa belajar sepanjang masa, fasa ini adalah tahap yang tidak pernah mereka lalui sebelum ini.

Memang sukar apabila anda kalah, namun paling penting untuk belajar daripadanya.

“Ia merupakan satu perjalanan yang hebat untuk Leicester City, jadi para pemain akan belajar dan mendapat banyak pengalaman daripadanya. Memori malam ini akan kekal dan memberi motivasi kepada para pemain untuk maju,” katanya.

The Foxes kendalian Rodgers tampil ke Stadium Olimpico dengan kekalahan 1-2 ketika melayan kunjungan AS Roma di Stadium King Power dalam aksi separuh akhir pertama sebelum ini.

Bagaimanapun, tandukan Tammy Abraham pada minit ke-11, sudah cukup mengesahkan kemenangan agregat 2-1 gergasi Serie A tersebut sekali gus mara ke perlawanan akhir berdepan Feyenoord Rotterdam di Tirana pada 26 Mei depan.

Kekalahan Leicester City juga menyaksikan berkemungkinan besar The Foxes tidak bersaing di pentas Eropah musim depan kerana pada ketika ini menduduki di tempat ke-11 Liga Perdana Inggeris-10 mata di belakang pasukan tujuh teratas.