Deruan jet tak patah semangat penuntut Malaysia

Umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di pekarangan masjid di Moscow, Rusia pada Isnin. Gambar kecil dari kiri : AISYAH NURSYAZA dan FARZANA
Umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di pekarangan masjid di Moscow, Rusia pada Isnin. Gambar kecil dari kiri : AISYAH NURSYAZA dan FARZANA
A
A
A

SHAH ALAM - Di kelilingi bunyi deruan jet pejuang setiap hari di Rusia, itu bukanlah pematah semangat buat penuntut Malaysia untuk menyambut Aidilfitri di negara berkenaan.

Perkara itu diakui Aisyah Nursyaza Anuar, 24, yang sedang melanjutkan pelajaran dalam jurusan perubatan di Kursk State Medical University.

Akui Aisyah Nursyaza, perasaan bimbang itu tetap ada, tetapi disebabkan keadaan masih terkawal, dia dan rakan-rakannya yang lain masih boleh menjalankan kehidupan seperti biasa.

“Kita tak nampak apa yang sedang berlaku, tetapi bunyi deruan jet pejuang masih ada setiap hari tanpa henti.

“Walaupun bimbang dengan situasi tersebut, ia tidak mematahkan semangat saya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di sini bersama rakan-rakan yang lain.

“Keadaan di sini masih lagi terkawal. Kami dapat menjalankan kehidupan seperti biasa, begitu juga dengan sambutan Aidilfitri,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Dari segi persiapan pula, Aisyah Nursyaza berkata, dia cuba melakukan yang terbaik kerana Aidilfitri merupakan perayaan yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam selepas sebulan berpuasa.

“Jadi, saya cuba buat persiapan terbaik. Nak juga merasa macam mana beraya di kampung halaman,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Farzana Auji Tadjul Hakma, 24, yang turut melanjutkan di Kursk State Medical Universiry berkata, Aidilfitri di sana disambut seperti biasa.

“Kalau dulu sewaktu Covid-19 berleluasa, adat kunjung-mengunjungi tidak dibenarkan. Tetapi tahun ini, Alhamdulillah ada.

“Dari segi persiapan raya pula, saya dan kawan serumah merewang bersama-sama. Masak ketupat, rendang, lotong dan lemang. Jadi, walaupun duduk berjauhan dari tanah air, tetap dapat merasai meriahnya suasana Aidilfitri,” katanya.

Bagaimanapun, Farzana mengakui bimbang dengan konflik yang berlaku di negara berkenaan, lebih-lebih lagi kedudukan Kursk jauh dari Kedutaan Malaysia yang mana mengambil masa lebih kurang 8 jam ke 10 jam jika menaiki van ataupun kereta api.

“Jadi kalau apa-apa berlaku, kami jauh. Itu yang membimbangkan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pihak kedutaan juga telah memberi beberapa nasihat sekiranya situasi krisis tersebut memuncak.

“Mereka (kedutaan) meminta kami sentiasa peka dengan keadaan semasa. Jika berlaku kecemasan mereka akan terus maklum,” ujarnya.