Buat ujian sebelum kembali bekerja

Pakar kesihatan menyarankan supaya rakyat melakukan ujian kendiri Covid-19 sebelum kembali menjalani rutin harian seperti ke sekolah atau bekerja. (Gambar kecil) Dr Hanafiah.
Pakar kesihatan menyarankan supaya rakyat melakukan ujian kendiri Covid-19 sebelum kembali menjalani rutin harian seperti ke sekolah atau bekerja. (Gambar kecil) Dr Hanafiah.
A
A
A

SHAH ALAM - Dalam kemeriahan orang ramai menyambut Hari Raya Aidilfitri pastinya ada yang cenderung melupakan seketika prosedur operasi standard (SOP) yang seharusnya diamalkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 daripada terus tersebar.

Justeru Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun menyarankan supaya rakyat melakukan ujian kendiri Covid-19 sebelum kembali menjalani rutin harian seperti ke sekolah atau bekerja.

Menurutnya, setiap individu seharusnya mempunyai tanggungjawab sosial dalam menjaga keselamatan dan kesihatan diri serta keluarga agar bebas daripada virus itu.

“Saya cadangkan sebelum pelajar, guru dan pensyarah yang akan kembali ke sekolah serta universiti semua kena lakukan ujian saringan.

“Sekiranya didapati positif Covid-19, mereka harus jalani kuarantin kendiri di rumah sampailah keputusan negatif, baru kembali ke institusi pengajian.

“Lakukan ujian, inilah yang dipanggil peralihan ke fasa endemik di mana setiap orang melakukan peranan dan tanggungjawab sosial masing-masing untuk hentikan penularan wabak Covid-19 kepada orang lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Isnin, Kementerian Kesihatan menjangkakan kes positif Covid-19 selepas sambutan Aidilfitri meningkat tetapi kebanyakan adalah kategori satu dan dua iaitu tiada gejala dan gejala ringan.

Mengulas lanjut, Dr Hanafiah berkata, ujian saringan Covid-19 perlu dilakukan selepas pulang beraya supaya mereka tidak merisikokan kumpulan komuniti tertentu sekiranya didapati positif.“Selain itu, jika kapasiti tempat bekerja menyukarkan penjarakan fizikal dibuat atau perlu berjumpa dengan orang awam setiap hari, lakukan ujian saringan terlebih dahulu.

“Jika kita gagal lakukan penjarakan fizikal di tempat kerja seperti di kilang atau pengudaraan pejabat yang tidak bagus, pakailah pelitup muka sepanjang tempoh bekerja.

“Itu yang perlu dilakukan supaya kita tidak dijangkiti dan secara tidak langsung kita tidak bawa wabak ini ke rumah,” katanya.

Sementara itu, Dr Hanafiah berkata, peningkatan kes Covid-19 pasti akan berlaku disebabkan oleh pergerakan individu dan berkumpulan ketika menyambut Syawal.

“Saya yakin memang ramai tidak pakai pelitup muka ketika berkunjung pada hari raya dan ini menjadikan kebarangkalian kes meningkat dengan tinggi.

“Apabila berlaku peningkatan kes, mungkin kes itu tidak teruk, tahap satu dan dua sahaja kerana kebanyakannya sekarang adalah varian Omicron, ia memang super-spreader tetapi tidak agresif dan tidak membunuh seperti Delta dan Beta sebelum ini.

“Kebanyakan individu juga sudah lengkap divaksin, jadi kemungkinan besar komplikasi akibat jangkitan Covid-19 tidak seteruk sebelum ini,” ujar beliau.