Jangan buat spekulasi kematian kakitangan Hospital Pulau Pinang

Hospital Pulau Pinang.
Hospital Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian seorang kakitangan Hospital Pulau Pinang yang maut selepas terjatuh dari bangunan kediamannya pada 17 April lalu.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Ma'arof Sudin berkata, kejadian itu masih dalam siasatan polis dan orang ramai diminta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih mengenainya.

Menurutnya, JKNPP dan Hospital Pulau Pinang akan memberi sepenuh kerjasama kepada polis untuk melengkapkan siasatan kes tersebut.

"Kes ini sudah menjadi kes polis yang mana, pihak polis telah mengarahkan bedah siasat dijalankan. Sehubungan itu, bedah siasat telah dilakukan di Jabatan Forensik HPP dan kita masih menunggu beberapa keputusan ujian makmal untuk diserahkan kepada polis bagi melengkapkan laporan siasatan.

"Laporan akhir akan dikemukakan kepada polis untuk membantu siasatan. Memandangkan kes ini masih dalam siasatan polis dan bagi menghormati keluarga mangsa, JKNPP memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kejadian ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong yang mengesahkan kejadian itu berkata, kes itu disiasat sebagai mati mengejut.

Bagaimanapun menurutnya, polis tidak menolak akan mengklasifikasikan semula kes tersebut sekiranya menemui bukti baharu untuk dijalankan siasatan.

Dalam pada itu, Ma'arof mengesahkan mangsa merupakan seorang Pegawai Perubatan Siswazah yang telah melaporkan diri ke Pulau Pinang dan ditempatkan di Hospital Pulau Pinang pada 4 April lalu.

Katanya, mangsa ditemui terjatuh dari bangunan kediamannya pada 17 April lalu.

Susulan daripada kejadian itu, Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan, Dr Norlela Ariffin dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JKNPP memberi penjelasan mengenai kejadian melibatkan doktor pelatih tersebut.

Kata mereka, JKNPP dan KKM perlu menyiasat secara menyeluruh kejadian itu berikutan ia merupakan kejadian kedua dalam tempoh kurang dua tahun yang membabitkan seorang doktor pelatih.

Selain itu, mereka juga menggesa pihak terlibat memberi penjelasan mengenai kes dan situasi yang dihadapi doktor di hospital di negeri ini.