Genap setahun suami hilang di laut

Rakaman gambar Noorfadilah (kanan) di samping suaminya, Wan Mohd Sufian dan dua cahaya mata mereka ketika Aidilfitri tahun lalu iaitu selang beberapa hari sebelum kejadian.
Rakaman gambar Noorfadilah (kanan) di samping suaminya, Wan Mohd Sufian dan dua cahaya mata mereka ketika Aidilfitri tahun lalu iaitu selang beberapa hari sebelum kejadian.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Aidilfitri kali ini genap setahun suami kepada Noorfadilah Abd Rashid, 33, hilang di laut namun kerinduan terhadap insan itu tidak pernah padam.

Berkongsi perasaan kepada Sinar Harian, ibu kepada dua anak itu berkata, harapan dan penantiannya terhadap kepulangan suaminya, Wan Mohd Sufian Wan Abdul Rahman, 36, yang hilang sejak Mei tahun lalu tidak pernah luntur.

"Saya masih mengharapkan kepulangan suami sebab dia hilang tanpa jejak. Tiada jasad ditemui sehingga kini. Tiada kesan yang ditinggalkan. Jika benar sudah meninggal dunia, mana jasadnya.

"Memang suami jatuh di laut ketika memancing pada Mei tahun lalu tetapi tiada bukti mengatakan dia lemas. Mungkin ya atau mungkin tidak. Mungkin juga tenggelam terus. Hanya ALLAH SWT yang Maha Mengetahui," ujarnya sayu.

Menurut Noorfadilah, Aidilfitri kali ini adalah yang pertama dirai tanpa kehadiran suami di samping keluarga dan anak-anak.

"Biasanya setiap kali raya suami tidak cerewet memilih persalinan. Dia terima apa sahaja warna dan corak pakaian yang dipilih.

"Namun, apa yang saya ingat ialah suami paling gemar makan sate dan nasi minyak ketika perayaan Aidilfitri," katanya.

Menurut Norfadilah, walaupun sudah setahun tiada khabar berita daripada suami, tidak pernah terlintas untuk dia mencari pengganti.

Katanya, tumpuan buat masa ini adalah menjaga bapanya, Abd Rashid Talib, 76, yang uzur di Seberang Takir serta memberi tumpuan terhadap dua anaknya yang masih kecil iaitu Wan Nursofiaazzahra, 6, dan Wan Nursyifaadelia, 3.

"Setakat ini saya tidak boleh bekerja sebab tak boleh tinggalkan bapa yang sedang uzur. Anak-anak juga masih kecil dan perlukan perhatian.

"Mujurlah dua anak ada dapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Ia sedikit sebanyak membantu menampung perbelanjaan kami sekeluarga," katanya.

Pada 19 Mei tahun lalu, Wan Mohd Sufian keluar ke laut dari jeti Marang sekitar jam 7 pagi sebelum dilaporkan hilang dua jam kemudian.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu terpaksa menghentikan operasi operasi mencari dan menyelamat mangsa selepas lebih seminggu tidak menemui sebarang petunjuk.