Tiga nelayan dikhuatiri hilang dalam dua kejadian berasingan

Jaafar dan Wan Mohd Sufian
Jaafar dan Wan Mohd Sufian
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tiga nelayan dikhuatiri hilang dalam dua kejadian berasingan yang berlaku di perairan Kuala Terengganu pada Rabu dan Khamis.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, sebuah bot nelayan tempatan Kelas A bersama dua kru termasuk tekong dikhuatiri mengalami kerosakan di perairan Kuala Terengganu sejak Rabu.

Beliau berkata, usaha mencari diaktifkan pada jam 9.40 pagi bagi mengesan kedudukan bot yang dikendalikan Jaafar Sulong, 66 (tekong) dan kru dikenali sebagai Baharuddin berusia 30-an.

"Mangsa dikatakan sepatutnya pulang semalam (Rabu), namun usaha ahli keluarga menghubungi kedua-dua mangsa gagal," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Muhammad Suffi berkata, Maritim Terengganu menggerakkan Kapal Maritim (KM) Gemia, Bot Maritim Pengawal 16 dan pesawat udara maritim AW139 bagi mengesan kedudukan bot dari lokasi dipercayai berlakunya insiden.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lagi nelayan, Wan Mohd Sufian Wan Abdul Rahman, 34, disyaki hilang di laut setelah bot mangsa ditemui nelayan tempatan pada kedudukan 10.1 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

Isteri mangsa, Noorfadilah Abd Rashid, 31, berkata, suaminya keluar ke laut dari jeti Marang sekitar jam 7 pagi pada Khamis sebelum diberitahu hilang jam 9 pagi.

Artikel Berkaitan:

Bot dibawa Wan Mohd Sufian yang ditemui nelayan tempatan di kedudukan 10.1 batu nautika dari muara Kuala Terengganu pada Khamis.
Bot dibawa Wan Mohd Sufian yang ditemui nelayan tempatan di kedudukan 10.1 batu nautika dari muara Kuala Terengganu pada Khamis.

"Biasanya suami turun ke laut berdua bersama kawan dia. Tapi hari ini, dia pergi seorang sebab kawan dia tidak bekerja.

"Saya dapat tahu dia hilang di laut selepas ada rakannya terjumpa botnya dalam keadaan enjin masih hidup, namun dia tiada dalam bot," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Bercerita lanjut, Noorfadilah berkata, dia sebenarnya telah melarang suaminya turun ke laut hari ini (Khamis) disebabkan cuaca malam tadi tidak begitu baik.

Katanya, semalam (Rabu) suaminya juga turun ke laut, namun pulang awal sekitar jam 3 petang memandangkan cuaca tidak begitu baik.

"Hari ini saya dah larang dia turun ke laut sebab cuaca tak elok, namun dia berdegil juga. Mungkin dia rasa keadaan cuaca semakin baik dan memutuskan untuk keluar juga ke laut hari ini.

"Apapun, saya tidak putus berdoa dan berharap agar dia ditemukan dalam keadaan selamat," katanya.