Pembinaan WCE selesai kesesakan jalan raya sekitar Tanjong Karang

Noh (dua, kanan) menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada salah seorang penerima di Dewan Dato' Hormat Tanjong Karang, pada Ahad.
Noh (dua, kanan) menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada salah seorang penerima di Dewan Dato' Hormat Tanjong Karang, pada Ahad.
A
A
A

TANJONG KARANG - Kesesakan lalu lintas di beberapa Jalan Persekutuan 5 (FR5) sekitar Tanjong Karang pada musim perayaan dan cuti sekolah dijangka berakhir selepas projek pembinaan konsesi Lebuhraya Pantai Barat (WCE) siap sepenuhnya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, pada masa ini kemajuan projek pembinaan WCE di Parlimen tersebut memasuki fasa terakhir.

"Terdapat kelewatan projek WCE di Parlimen Tanjong Karang selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

"Pelaksanaan projek ini ada beberapa masalah. Melalui perbincangan serta rundingan sebelum PRU-14, WCE pada mulanya bersetuju tidak mengambil tanah penduduk kampung. Malah, pada masa itu, kita mendapat sebanyak RM600 juta," katanya ketika Majlis Penyampaian Asnaf Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang di Dewan Dato' Hormat Tanjong Karang, pada Ahad.

Kata Noh, bagaimanapun selepas kekalahan BN dan pemerintahan negara diambil alih kerajaan Pakatan Harapan (PH), peruntukan khas itu dibatalkan dan pelan asal diteruskan hingga menimbulkan bantahan dan rasa tidak puas hati penduduk.

Kata beliau, selaku pembangkang pada masa itu, beliau terpaksa akur dengan keputusan kerajaan PH.

"Oleh kerana pelan asal sudah dimulakan, kami terpaksa akur tambahan pula WCE menggunakan jalan pintas yang tidak melalui Pekan Tanjong Karang.

"Penggunaan jalan pintas ini dibimbangi memberi kesan kepada Pekan Tanjong Karang iaitu pembangunannya menjadi perlahan disebabkan pengguna yang melalui WCE tidak lagi melalui jalan Pekan Tanjong Karang," katanya.