10,000 pelajar UPM pulang ke kampung sambut Aidilfitri

Antara pelajar yang menggunakan perkhidmatan bas yang disediakan UPM untuk ke KLIA.
Antara pelajar yang menggunakan perkhidmatan bas yang disediakan UPM untuk ke KLIA.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 10,000 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dari kampus Serdang, Selangor dan Bintulu, Sarawak mula bergerak pulang ke kampung masing-masing secara berperingkat sempena cuti Aidilfitri kali ini bermula sejak 16 April lalu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Profesor Dr Arifin Abdu berkata, proses pergerakan pulang pelajar lebih mudah berbanding berbanding dua tahun lepas apabila pelajar kini bebas memilih untuk mengatur pergerakan masing-masing.

“Kali ini pelajar lebih selesa memilih untuk mengatur pergerakan sendiri pulang berhari raya di kampung dengan dijemput menggunakan kenderaan keluarga, selain menggunakan kenderaan sendiri dan tidak kurang juga yang memilih menggunakan pengangkutan awam seperti perkhidmatan bas atau kapal terbang,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Arifin berkata, pihaknya secara purata menyediakan enam buah bas setiap hari bagi menghantar pelajar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga pagi Hari Raya.

“Sebahagian pelajar telah pulang ke kampung halaman sejak 16 April lalu bersempena cuti Nuzul Al-Quran dan tidak kembali semula ke kampus kerana tiada keperluan makmal atau sebagainya dan mengikuti kelas pengajian secara dalam talian di kediaman masing-masing,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM, Nuruliman Ibrahim berkata, pihaknya mendapati seramai 435 pelajar memilih untuk tinggal di kampus sepanjang Aidilfitri.

Beliau berkata, kesemua pelajar akan disediakan dengan perkhidmatan makanan bermula dari malam raya hingga ke hari raya kedua oleh pihak BHEP dengan kerjasama kolej kediaman.

"Semua pelajar berkenaan akan disantuni sebaik mungkin supaya suasana Aidilfitri turut diraikan bersama-sama," katanya.