Akta Kawalan Bekalan: 62 kes libat nilai rampasan RM1 juta di Kelantan

A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merekodkan rampasan bernilai RM1 juta, membabitkan 62 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sejak Januari hingga Mac tahun ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, rampasan melibatkan barangan seperti minyak masak bersubsidi, tepung gandum, gula, diesel dan minyak petrol, dilakukan menerusi 29 operasi bersepadu.

Katany,a selain KPDNHEP Kelantan, operasi bersepadu turut membabitkan agensi lain seperti Pasukan Polis Marin, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Daripada 62 kes itu, KPDNHEP turut berjaya membuat 15 tangkapan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Azanizam berkata, selain kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, pihaknya turut merekodkan 227 kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, selain Akta Timbang dan Sukat 1972 bagi tempoh yang sama.

Beliau berkata, daripada 227 kes itu, sebanyak 121 kes membabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, kerana peniaga gagal mempamerkan tanda harga terhadap barangan yang dijual.

"Pihak kami juga sentiasa mempergiatkan pemeriksaan harian dan memantau kedudukan bekalan barang kawalan dan keperluan asas, peringkat pemborong utama dan peruncit untuk mengekang daripada berlaku sebarang penyelewengan.

"Peniaga juga diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan bagi memastikan pengguna dapat menikmati harga yang ditetapkan, sekali gus untuk melahirkan suasana yang harmoni antara peniaga dan pengguna,” katanya.- Bernama