Misi wajib menang JDT

Bergson (kanan) sekali lagi menjadi taruhan JDT bagi menggempur kubu Ulsan Hyundai. - Foto FB Johor Southern Tigers
Bergson (kanan) sekali lagi menjadi taruhan JDT bagi menggempur kubu Ulsan Hyundai. - Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) bakal mempertaruhkan barisan terbaik dalam aksi ‘wajib menang’ menentang kelab Korea Selatan, Ulsan Hundai di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.

Sedar hanya tiga mata berharga yang akan melonjak mereka ke pusingan kalah mati, sekali gus mencipta sejarah baharu di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL), JDT pastinya tidak rela tumbang di tangan Ulsan Hyundai.

Aksi terakhir Kumpulan I itu akan menentukan nasib skuad Harimau Selatan sama ada mereka mampu melepasi peringkat kumpulan atau menempa sejarah baharu dalam saingan ACL.

Pengendali JDT, Benjamin Mora mengakui aksi kedua menentang juara edisi 2020 itu ibarat final dalam misi anak-anak buahnya memburu slot ke pusingan 16 pasukan terbaik.

“Bagi saya, aksi kedua menentang Ulsan Hyundai adalah detik penting JDT bagi melakar sejarah mengintai peluang memburu slot ke pusingan seterusnya.

“Sudah pasti kami juga akan berdepan corak permainan berbeza Ulsan Hyundai. Jadi perlu berhati-hati bagi mengelak terperangkap dengan taktik permainan mereka.

“Kami akan memberi persaingan ketika beraksi di padang biarpun menyedari status pasukan lawan sebagai bekas juara ACL musim 2020,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Pengendali Ulsan Hyundai, Hyung Myung-bo pula menganggap dua penyerang JDT, Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri mampu sekali lagi menghadirkan ancaman merbahaya kepada pasukannya.

“Sudah tentu dua pemain lawan (JDT) iaitu nombor 9 (Bergson Da Silva) dan nombor 45 (Fernando Forestieri) perlu disekat kerana mereka pemain yang cukup bahaya.

“Mereka telah membuktikan kemampuan masing-masing apabila menjaringkan gol pada aksi pertama. Kami akan buat persiapan rapi bagi memburu kemenangan,” ujarnya.

JDT kini mengungguli Kumpulan I apabila mengumpul 10 mata diikuti Ulsan Hyundai yang turut meraih 10 mata manakala Kawasaki Frontale dengan lapan mata dan Guangzhou FC tanpa sebarang mata.

Berdasarkan format pertandingan, juara setiap kumpulan dan tiga naib juara terbaik daripada setiap zon akan mara ke pusingan kalah mati.