UMNO patut ketuai PAC, kata Pas

Takiyuddin ketika bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Takiyuddin ketika bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen daripada UMNO sepatutnya dilantik mengetuai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Datuk Takiyuddin Hassan, yang turut melepaskan jawatannya dalam PAC hari ini, berkata, ini berdasarkan jumlah Ahli Parlimen daripada UMNO lebih ramai berbanding Ahli Parlimen pembangkang yang lain.

"Amalannya parti pembangkang yang ada bilangan (MP) paling ramai menjadi pengerusi. Sekarang UMNO (pembangkang terbesar di Parlimen) jadi terpulang kepada mereka.

"Pengerusi PAC Ronald Kiandee dulu pun UMNO (sebelum sertai Bersatu)...Sepatutnya pengganti dia daripada UMNO," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas isu peletakan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai anggota PAC.

Tindakan Nurul Izzah meletakkan jawatan itu membabitkan isu kepemimpinan PAC.

PH sebelum ini berjanji supaya jawatan Pengerusi PAC dikhaskan kepada wakil rakyat pembangkang.

Dalam perkembangan terbaharu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, dua Ahli Parlimen BN keluar daripada PAC itu ialah Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah manakala daripada Pas, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan.

Artikel Berkaitan:

"Semua ahli PAC pembangkang letak jawatan dan berikan sepenuh kuasa kepada kerajaan. Kita tidak akan berada dalam PAC sehingga kerajaan berikan jawatan pengerusi daripada pembangkang.

"Dua daripada BN iaitu Ahli Parlimen Parit Sulong (Noraini) dan Jasin (Ahmad) manakala daripada Pas Ahli Parlimen Kota Bharu (Takiyuddin), kesemua mereka letak jawatan serta-merta," katanya ketika sidang media, di lobi Parlimen, hari ini.