PRN Sarawak: Dr Sim dan calon DAP serah borang pencalonan di Batu Kawah

Dr Sim menjadi calon pertama menyerahkan borang pencalonan bagi kerusi DUN Batu Kawah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 di Pusat Penamaan Calon kawasan itu, pagi ini. - Foto Astro AWANI
Dr Sim menjadi calon pertama menyerahkan borang pencalonan bagi kerusi DUN Batu Kawah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 di Pusat Penamaan Calon kawasan itu, pagi ini. - Foto Astro AWANI
A
A
A

KUCHING - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N14 Batu Kawah, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, menjadi calon pertama menyerahkan borang pencalonan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 di Pusat Penamaan Calon kawasan itu, pagi ini.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu menyerahkan borang pencalonannya kepada Pegawai Pengurus (RO) Pilihan Raya, Tay Guan Huat, pada jam 9 pagi.

Tiga minit kemudian, calon DAP, Sim Kiat Leng, turut hadir menyerahkan borang pencalonannya pada jam 9.03 pagi.

Kedua-duanya dengan pasukan penyokong masing-masing telah tiba seawal 8 pagi di hadapan Majlis Perbandaran Padawan dalam keadaan yang tenang.

Pertembungan kedua-dua calon itu menyaksikan persaingan dua penjuru antara GPS dan DAP bagi merebut kerusi berkenaan pada PRN kali ini, tertakluk kepada pengesahan rasmi calon oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya selepas penamaan calon tutup pada jam 10 pagi.

Batu Kawah iaitu kawasan pinggir bandar berkeluasan 97 km persegi mempunyai seramai 41,114 pemilih berdaftar, termasuk 923 anggota polis dan pasangan.

Untuk rekod, Dr Sim merupakan penyandang kerusi DUN Batu Kawah sejak 2016 dan kini berdepan cabaran untuk mempertahankan kerusi berkenaan buat penggal ketiga berturut-turut.

PRN Sarawak ke-13 menyaksikan sebanyak 82 kerusi DUN dipertandingkan, dengan hari pengundian ditetapkan pada 12 Disember ini dan undi awal 8 Disember. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!