PRN Sarawak: Premier, Timbalan Premier selesai serah borang pencalonan

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.26 Gedong menyerahkan borang pencalonan di Pusat Penamaan Calon di Dewan Masyarakat Gedong sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 hari ini. Foto Bernama
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.26 Gedong menyerahkan borang pencalonan di Pusat Penamaan Calon di Dewan Masyarakat Gedong sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Premier Sarawak dan tiga Timbalan Premier selesai menyerahkan borang pencalonan masing-masing bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 hari ini.

Premier Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg selesai menyerahkan borang pencalonan bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong di Dewan Masyarakat Gedong pada 9.08 pagi.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang bertanding di DUN Bukit Sari, tiba di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Daerah Lawas seawal 7.40 pagi sebelum selesai menyerahkan borang pencalonan pada 9.05 pagi.

Seorang lagi Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang mempertahankan kerusi DUN Bukit Saban, turut selesai menyerahkan borang pencalonannya di Dewan Masyarakat Spaoh pada 9.05 pagi.

Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak merangkap Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menyerahkan borang pencalonan di Majlis Perbandaran Padawan bagi mempertahankan kerusi DUN Batu Kawah.

Proses penyerahan kertas penamaan calon berlangsung selama sejam bermula 9 pagi hingga 10 pagi sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengumumkan senarai rasmi calon yang layak bertanding.

Sebanyak 82 pusat penamaan calon dibuka di seluruh negeri bagi melancarkan proses berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal pada 8 Disember manakala hari pengundian berlangsung pada 12 Disember.

Berdasarkan statistik SPR, sebanyak 2,058,781 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini terdiri daripada 2,034,373 pengundi biasa, 13,575 anggota tentera dan pasangan serta 10,833 anggota polis dan pasangan. - Bernama.

 

 

 

 

 

 

TAG: PRN Sarawak, penamaan calon, DUN, SPR

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!