Polis lengkap siasatan isytihar kematian dua pekerja kuari tertimbus

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Polis dalam proses menyiapkan kertas siasatan terhadap kejadian dua lelaki dipercayai masih tertimbus dalam runtuhan batu di tapak kuari Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini, bulan lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) meskipun kedua-kedua mangsa masih belum ditemukan.

Menurutnya, kertas siasatan itu akan dimajukan kepada Mahkamah Koroner dengan cadangan mengisytiharkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia.

"Semua tahu dua mangsa sudah meninggal dunia cuma jasadnya belum dijumpai. Saya sudah bincang dengan Ketua Polis Daerah Ipoh supaya lengkapkan siasatan segera.

"Kita boleh bawa kertas siasatan kepada pihak koroner dengan cadangan supaya kedua-dua mangsa diisytiharkan meninggal dunia dan sijil kematian dapat dikeluarkan.

"Pengeluaran sijil memudahkan tuntutan seperti insurans dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sekaligus meringankan beban keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 18 dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Perak di Plaza Tol Ipoh Selatan arah utara di sini pada Jumaat.

Faridalathrash berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kedua-dua mangsa bagaimanapun masih diteruskan oleh agensi terlibat dan usaha itu belum membuahkan hasil.

"Setiap hari ada siri letupan bersama pihak berkenaan dengan pemantauan kita, tetapi belum dapat hasil lagi. Kita akan bincang dengan agensi terlibat dalam SAR ini menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah selepas Raya nanti.

"Kalau keputusan masih tidak dapat dibuat, kita akan angkat ke Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri. Isu ini sensitif kepada keluarga mangsa jadi perlu cari solusi atau keputusan tepat untuk teruskan atau tidak usaha pencarian itu," katanya.

Selasa lalu, media melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak akan mengadakan perbincangan dengan pihak polis selaku komander operasi bagi menilai kewajaran untuk meneruskan atau menutup operasi mencari dua mangsa itu.

Kejadian runtuhan batu di tapak kuari pada 8 Mac lalu sekitar jam 9.15 pagi mengakibatkan dua mangsa iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49, tertimbus.

Dalam kejadian itu, seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan, manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan.

Mior Faridalathrash bersama Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed (kanan) melancarkan Op Selamat 18 dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Perak di Plaza Tol Ipoh Selatan arah utara di Ipoh.