Tidak mustahil berlaku hiperinflasi

Ahmed Razman
Ahmed Razman
A
A
A

SHAH ALAM - Keadaan hiperinflasi boleh berlaku di Malaysia melihatkan keadaan perang Ukraine dan Rusia yang menjejaskan rantaian bekalan ke seluruh dunia.

Pakar Ekonomi, University College i-CATS, Kuching, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, keadaan peperangan yang dilihat masih belum berakhir selain penglibatan banyak negara akan memberikan kesan kepada kenaikan harga pelbagai barangan.

"Bagi saya, hiperinflasi boleh berlaku di negara ini jika keadaan inflasi melebihi 10 peratus. Pada kadar inflasi dua digit, ia sudah cukup untuk capai tahap hiperinflasi. Kalau dilihat juga, kadar inflasi kita meningkat setiap bulan dan ia sesuatu yang perlu dirisaukan.

"Walaupun kerajaan mungkin meletakkan kawalan harga terhadap barang makanan, tetapi timbul kerisauan berlaku kekurangan bekalan di pasaran. Ia akan menjadi lebih teruk sekiranya harga minyak dunia meningkat yang akan turut memberikan kesan kenaikan harga barang.

"Malah, kos pengangkutan juga akan naik disumbangkan rasa tidak selamat kapal untuk belayar akibat perang tersebut sekali gus akan menyebabkan banyak perkara termasuk rantaian bekalan terjejas," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, Malaysia sebagai negara kecil akan terkesan kerana banyak bergantung kepada eksport dan import sekali gus tidak dapat lari daripada keadaan ekonomi yang meruncing.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai dan kerajaan perlu bersedia selain menggalakkan kembali revolusi hijau dalam kalangan masyarakat.

"Kita tidak boleh tanamkan bahawa hiperinflasi tidak akan berlaku melihatkan kepada kadar inflasi yang tidak pernah melebihi lima peratus di negara ini.

"Dalam keadaan sekarang, kita perlu untuk bersedia dengan pelbagai kemungkinan. Apa yang sangat penting di saat inflasi ini adalah makanan. Kalau harga barang lain naik tak ada masalah, tetapi makanan ini perlu dikawal supaya harga tidak tinggi dan sentiasa mencukupi," katanya.

Bagaimanapun, pendapat berbeza disuarakan Pakar Ekonomi daripada Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff yang menyifatkan hiperinflasi mustahil untuk berlaku di negara ini.

Namun, beliau mengakui tahap inflasi akan terus meningkat setiap bulan walaupun tidak akan mencapai tahap paling tinggi iaitu 4.9 peratus yang berlaku pada Mac tahun lalu.

"Definisi hiperinflasi ini adalah peningkatan inflasi melebihi 50 peratus dan agak mustahil untuk ia berlaku di negara ini.

"Jika keadaan hiperinflasi yang berlaku di beberapa negara seperti Zimbabwe, Venezuela dan Sri Lanka itu bukan kerana disebabkan faktor ekonomi global semata-mata tetapi penyebab utama ialah pemimpin mereka yang korup.

"Ia menyebabkan kerajaan mereka gagal menguruskan sistem monetari yang berkesan sekali gus menyebabkan hiperinflasi," katanya.

Kata Ahmed Razman, beliau percaya kerajaan masih memiliki tadbir urus yang baik dan kemungkinan untuk Malaysia sampai ke tahap hiperinflasi adalah sangat mustahil.