Hiba dengar takbir raya

Penulis mendengar rintihan kerinduan ketiga-tiga penghuni rumah Kebajikan Orang-Orang Tua Seri Permai di Taman Tas.
Penulis mendengar rintihan kerinduan ketiga-tiga penghuni rumah Kebajikan Orang-Orang Tua Seri Permai di Taman Tas.
A
A
A

KUANTAN - Penantian tidak berpenghujung dan hanya mampu memendam kerinduan kepada keluarga serta sanak saudara di kejauhan.

Itu yang dirasai penghuni Rumah Kebajikan Orang-Orang Tua Seri Permai, Taman Tas di sini yang saban hari menanti kunjungan insan tersayang.

Namun harapan itu adakalanya hanya mimpi kerana ada kalangan mereka hidup sebatang kara dan sudah terputus hubungan dengan keluarga serta dibuang keluarga walaupun mempunyai anak atau adik beradik.

Kerinduan itu tidak pernah padam sebaliknya masih menebal lebih-lebih lagi menjelang kedatangan Hari Raya Aidilfitri.

Zaki Abdullah, 51, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan mengakui dihimpit perasaan rindu untuk bertemu ahli keluarga selepas 30 tahun terpisah.

Katanya, banyak kali cuba menjejak ahli keluarga di sebuah perkampungan di Kota Bharu, namun hampa dan akhirnya menjadi salah seorang penghuni di rumah kebajikan itu.

“Bila menjelang Aidilfitri saya dihimpit rasa rindu, 30 tahun saya memendam rindu. Sampai ke hari ini saya tidak dapat menatap wajah ayah, ibu dan adik-beradik lain dan tidak mengetahui mereka masih hidup atau sebaliknya.

“Setiap malam saya akan menangis memikirkan entah bila saya dapat bertemu semula ahli keluarga atau waris saya dan pelbagai usaha dilakukan bagi mengesan mereka tetapi hampa. Namun adakah saya berkesempatan untuk menemui mereka (waris keluarga) kerana saya pun sudah tua,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah Kebajikan Orang-Orang Tua Seri Permai di Taman Tas pada Rabu.

Zaki memaklumkan hidup sebatang kara sungguh memeritkan kerana terpaksa bertarung dengan perasaan menanggung rindu lebih-lebih lagi sewaktu mendengar takbir raya.

Jelasnya, namun sisa-sisa kehidupan diteruskan dengan menagih kasih sayang daripada penghuni dan pengurus rumah kebajikan itu.

“Penghuni rumah kebajikan ini seperti keluarga besar selepas saya dihantar oleh pihak Hospital Pasir Mas, Kelantan kerana gagal mengesan waris dan ahli keluarga,” ujarnya yang reda dengan ujian ALLAH.

Abdullah Mohamad, 60, memaklumkan baru lima bulan menghuni rumah kebajikan itu dan sebelum ini tinggal di sebuah rumah terbiar di Batu Lapan, Jalan Gambang di sini.

Katanya, jika ada pilihan, dia mahu menghabiskan sisa hidup ahli keluarga, namun akur apabila ditakdirkan menjadi penghuni pusat jagaan di usia senja.

Jauh di sudut hati, Abdullah mengakui rindu pada ayah, ibu terutama menjelang Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

“Lebih 30 tahun saya tidak menatap wajah insan-insan tersayang dan menyambut hari lebaran dengan mereka. Saya tidak dapat berbuat apa-apa melainkan memendam perasaan itu kerana tidak tahu bila dan ketika ahli keluarga akan kunjung tiba.

“Memang menitis air mata saya apabila mengenangkan nasib diri. Saya tidak tahu sampai bila saya di sini, hingga akhir hayat atau sebaliknya tetapi tetap berharap dapat bertemu adik beradik sebelum menutup mata,” katanya yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan.

Sementara itu, Abdul Syukur Abdul Kasim, 57 dari Perak yang tiga tahun menghuni rumah kebajikan terbabit mengakui kerinduan kepada tiga anak sudah tidak tertahan.

Menurutnya namun apakan daya kami terpisah kerana takdir dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu menyebabkan tidak bertemu dengan anak kandungnya itu.

“Saya tidak pernah menyalahkan takdir bila terpaksa tinggal di sini selepas bercerai dengan isteri empat tahun lalu.

“Adik beradik saya hantar ke rumah ini kerana saya tiada siapa yang ini menjaga, tetapi saya percaya setiap kejadian ada rahmat tersembunyi dan hanya ALLAH SWT mengetahui rahsianya,” katanya.