Dua rakan didakwa rompak rantai leher, gelang warga emas

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua rakan didakwa di Mahkamah Sesyen pada Khamis atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan menggunakan senjata terhadap seorang wanita warga emas dan anak perempuannya, di hadapan rumah mereka di Bandar Tun Razak, Cheras, di sini.

Muhammad Iqbal Ali Bakar, 34, dan Abu Mukhzim Badarul Sham, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mereka didakwa bersama-sama merompak Shofiah Hamzah, 77, dan anaknya Nor Taibah Taazim, 34, pada 26 Mac lepas mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan bagi setiap tertuduh, manakala peguam Izleen Ismail dan Syah Azlan Abdullah yang mewakili kedua-dua tertuduh, memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guam mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap selain perlu menjaga ibu mereka.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali dan menetapkan 18 Mei untuk sebutan semula kes.

Pada 26 Mac, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar ketika dihubungi Bernama berkata, warga emas itu yang ingin keluar makan bersama anaknya, disamun dua lelaki bersenjatakan parang yang bermotosikal dan berikutan kejadian itu wanita itu, mengalami kecederaan luka di tangan serta mengalami kerugian dianggarkan RM25,000.

Menurut Muhammad Idzam, kejadian samun yang sempat dirakam orang awam dan tular dalam media sosial itu, menunjukkan suspek menarik dua utas rantai leher dan memotong dua utas gelang tangan mangsa dengan menggunakan gunting pemotong, sebelum melarikan diri menaiki motosikal bernombor pendaftaran palsu. - Bernama