SPRM ada kuasa siasat hakim

SPRM memohon masyarakat umum memberi ruang untuk proses siasatan dijalankan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan. - Foto Bernama
SPRM memohon masyarakat umum memberi ruang untuk proses siasatan dijalankan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan pihaknya mempunyai kuasa melakukan siasatan terhadap hakim mengikut Akta SPRM 2009.

Menerusi kenyataan pada Khamis, suruhanjaya itu berkata, mengikut akta tersebut, pegawai badan awam yang ditafsirkan di dalam Seksyen 3 akta tersebut adalah mana-mana orang yang menjadi anggota, pegawai, pekerja atau pekhidmat sesuatu badan awam, dan termasuklah anggota pentadbiran, ahli Parlimen, ahli sesuatu Dewan Undangan Negeri, Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan.

"Ia juga ditafsirkan mana-mana orang yang menerima apa-apa saraan daripada wang awam dan jika badan awam itu ialah suatu perbadanan seorang, termasuklah orang yang diperbadankan sebagai perbadanan itu," kata SPRM.

Menurutnya, selaras dengan prinsip pengasingan kuasa, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk membuat keputusan sama ada melakukan pendakwaan atau sebaliknya.

"SPRM juga telah mempunyai rekod menyiasat hakim yang mana kertas siasatan berkaitan diserahkan kepada AGC untuk membuat penilaian," katanya.

Mengulas mengenai siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, SPRM berkata, pihaknya menerima aduan pertama pada 15 Mac disusuli 23 dan 24 April lalu.

Jelasnya, siasatan tersebut masih berada di fasa awal dan melibatkan kepentingan awam.

"Harus dijelaskan bahawa apabila sesuatu siasatan dijalankan terhadap mana-mana individu ia tidak bermakna individu tersebut telah melakukan kesalahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, SPRM memohon masyarakat umum memberi ruang untuk proses siasatan dijalankan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan.

Sebelum ini, Mohd Nazlan membuat laporan polis berhubung satu artikel bertajuk ‘Group calling for Najib’s pardon now wants judge Nazlan arrested’ dan ‘Shocking Revelation: Najib’s Trial Judge Nazlan’s Conflict-of-Interest Exposed’ bertarikh 14 Mac lalu.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataan media berkata, tuduhan itu adalah palsu, tidak berasas serta berniat jahat.