X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

Hakim Mohd Nazlan nafi tuduhan terima wang RM1 juta

Mohd Nazlan
A
A

SHAH ALAM - Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat laporan polis berhubung satu artikel bertajuk ‘Group calling for Najib’s pardon now wants judge Nazlan arrested’ dan ‘Shocking Revelation: Najib’s Trial Judge Nazlan’s Conflict-of-Interest Exposed’ bertarikh 14 Mac lalu.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataan media berkata, tuduhan itu adalah palsu, tidak berasas serta berniat jahat.

Menurut kenyataan itu juga, artikel tersebut dilihat berniat menjatuhkan kredibiliti Nazlan sebagai hakim selain mengganggu sistem keadilan dan institusi kehakiman.

“Laporan polis ini juga dibuat agar siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan peruntukan undang-undang lain yang berkaitan, dapat dijalankan.

“Pejabat ini memandang serius terhadap tuduhan dan komen seperti ini dan mengingatkan orang ramai bahawa tuduhan terhadap badan kehakiman bertujuan mengganggu-gugat kes yang sedang dalam proses perbicaraan, adalah satu pelanggaran prinsip ‘sub-judice’,” katanya.

Pejabat ini juga menggesa pihak polis dapat menjalankan siasatan dengan segera demi memelihara keyakinan orang ramai terhadap institusi kehakiman negara serta memastikan pentadbiran keadilan dapat berjalan dengan baik.

Pada 20 April lalu, Blogger Raja Petra Kamarudin mendakwa hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali disiasat berhubung terpalit konflik kepentingan dalam kes rayuan SRC International yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Raja Petra dalam portalnya Malaysia Today pada Selasa, Nazlan disiasat berhubung wang RM1 juta yang tidak diisytihar dalam akaunnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!