'Subsidi untuk semua, bukan golongan tertentu sahaja'

Ariffin (dua dari kanan) meninjau stok bekalan ayam sewaktu lawatan SHMMP-HRP 2022 di Lotus's Selayang pada Rabu.
Ariffin (dua dari kanan) meninjau stok bekalan ayam sewaktu lawatan SHMMP-HRP 2022 di Lotus's Selayang pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peniaga yang menyorok bekalan atau menjual minyak masak peket hanya kepada golongan tertentu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Ariffin Samsudin berkata, kerajaan memperuntukkan subsidi kepada semua rakyat dan bukan untuk golongan tertentu sahaja.

Menurutnya, orang awam yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan aduan terus kepada KPDNHEP untuk tindakan lanjut.

"Kami akan ambil tindakan yang penting salurkan maklumat. Jika hanya mengadu di Facebook, kami tidak boleh buat apa-apa.

"Nak bawa ke mahkamah kena perlu maklumat mencukupi. Jika tidak cukup fakta kami tidak boleh buat apa-apa," katanya pada sesi tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP-HRP) 2022 di Pasar raya Lotus's Selayang pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan terdapat peniaga yang menjual minyak peket untuk golongan tertentu.

Jelasnya, minyak masak peket tidak terputus bekalan namun cepat habis disebabkan permintaan yang tinggi daripada pengguna.

"Setiap pasar raya menerima bekalan mengikut masa, jika bekalan habis boleh ditambah semula dan bukan tiada bekalan langsung.

"Bekalan sentiasa ada cuma apabila melibatkan barangan murah dan bersubsidi permintaan adalah tinggi," katanya.

Pada perkembangan sama, beliau memberikan jaminan stok bekalan makanan termasuk telur dan ayam mencukupi sepanjang perayaan Aidilfitri.

Katanya, seramai 89 pegawai penguat kuasa dan 79 pegawai pemantau harga bertugas sepanjang pelaksanaan SHMMP-HRP bagi memastikan bekalan mencukupi dan peniaga mematuhi undang-undang ditetapkan.

"Semua pasar raya telah diletakkan banting aduan. Orang awam boleh salurkan aduan sekiranya ada pihak dikesan melakukan kesalahan ditetapkan KPDNHEP," katanya.