Khalid Redza tukar pengakuan tidak bersalah cederakan Siti Syarifah

Siti Syarifah berkerusi roda hadir ke mahkamah, hari ini.
Siti Syarifah berkerusi roda hadir ke mahkamah, hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMASKINI] Selepas dua minggu membuat pengakuan bersalah mencederakan seorang wanita, seorang peniaga menukar pengakuannya kepada tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban pada Rabu.

Tertuduh, Khalid Redza Shuib, 41, menukar pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh selepas kertas pertuduhan dibacakan buat kali kedua pada prosiding sebutan semula kes berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Mei ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Sepatutnya pada prosiding itu mahkamah mendengar kenyataan impak mangsa dan menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah pada 13 April lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Siti Syarifah Aibiddin , 35, di sebuah rumah di Taman Nee Yan antara 1 Disember 2021 hingga 23 Mac 2022.

Sementara itu Siti Syarifah juga hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda sambil ditemani bapa dan beberapa pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) Negeri Sembilan.

Wanita itu kelihatan tenang namun sesekali dilihat cuba ditenangkan bapanya.

Sementara itu peguam pemerhati yang mewakili Siti Syarifah, Datuk Hanif Hassan memberitahu media, mangsa hadir ke mahkamah untuk mengemukakan kesan kesalahan (impak kesalahan).

"Mangsa sendiri nak bagi kenyataan, tapi disebabkan tertuduh tukar pengakuan, prosiding itu tak dapat diteruskan.

"Keadaan mangsa seperti dilihat tidak boleh berjalan seperti biasa dan terpaksa berkerusi roda, tetapi mempunyai semangat yang tinggi untuk hadir ke mahkamah," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan berdasarkan fakta kes, mangsa cedera pada kedua-dua belah kaki, dada dan belakang badan seperti ditekap dengan objek panas.

Selain itu turut dinyatakan mangsa mengalami luka pelbagai peringkat iaitu dari luka baru sehingga yang telah sembuh menandakan luka melecur tersebut dialami berulang kali pada masa berbeza.

Tidak cukup dengan seksaan itu, mangsa turut mengalami patah tulang femur sebelah kanan dan mukanya mengalami luka-luka kecil.

Keterangan saksi pula telah mengesahkan terdapat kejadian pukul ke atas mangsa sehingga melecur dan kaki mangsa dipijak secara berulang kali sehingga patah sepanjang tempoh mangsa tinggal di lokasi kejadian.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan tengkorak dan cebisan tulang rangka dipercayai milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemukan ditanam di kawasan belukar berhampiran tangki milik Pengurusan Air Berhad, di Taman Bukit Zamrud pada 7 April lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, tulang berkenaan ditemui jam 11 pagi selepas suspek lelaki utama kes penemuan mayat seorang wanita di Jalan Bukit Putus Lama pada 20 Mac lalu dan seorang saksi perempuan telah dibawa menunjukkan lokasi terbabit.