LUAS lancar sistem pantau kuantiti, kualiti air

Hashim (kiri) bersama Amirudin ketika perasmian dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Agensi di bawah pentadbiran Kerajaan Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah di sini.
A
A

SHAH ALAM- Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membangunkan LUAS Intelligence Support System (LiSS) sebagai sistem sokongan untuk memantau kuantiti dan kualiti air.

Pengarah Lembaga Urus Air Selangor Datuk Ir Hashim Osman berkata langkah ini diambil sebagai usaha menguruskan sumber air lebih berkesan, selain memaksimumkan sumber air.

"Sistem ini sekaligus memanfaatkan perkongsian data di antara agensi terlibat iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Syarikat Pengeluar Air Selangor dan Jabatan Meteorologi Malaysia.

"Melalui sub komponen Integrated Water Resources Information Management System (IWRIMS), kapasiti dan paras air empangan dapat dipantau dan disemak semula oleh semua melalui portal LUAS," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan di Majlis Perhimpunan Bulanan Agensi di bawah pentadbiran Kerajaan Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah di sini.

Katanya, dengan adanya sistem ini, analisa data ramalan sumber air bagi 36 jam ke hadapan dapat dilakukan.

"Sekaligus ia akan membantu kebolehdapatan dan mengelakkan pembaziran sumber ini.

"LiSS akan dapat mengimbangi sumber air negeri berdasarkan kadar permintaan oleh kerana jumlah pelepasan takungan empangan-empangan akan dapat dilakukan berdasarkan data-data keadaan semasa sumber air yang telah dianalisa," katanya.