Hayati erti sujud melalui World #QuranHour

Dr Hasbullah (depan, lima dari kanan) dan Dr Azmi (depan, enam dari kiri) bersama peserta yang mengambil bahagian dalam Program Iktikaf Perdana dan World #QuranHour di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah,UIAM Kuantan pada Selasa.
Dr Hasbullah (depan, lima dari kanan) dan Dr Azmi (depan, enam dari kiri) bersama peserta yang mengambil bahagian dalam Program Iktikaf Perdana dan World #QuranHour di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah,UIAM Kuantan pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Surah Al-Sajdah yang diangkat sebagai surah pilihan pada program World #QuranHour kali ini amat sesuai dalam membawa penghayatan umat Islam kepada erti sujud kepada ALLAH.

Timbalan Pengarah Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan, Dr Hasbullah Mohamad berkata, sujud itu sendiri berkait rapat dengan solat yang menjadi satu kewajipan bagi orang Islam.

Menurutnya, penghayatan kepada nilai sujud itu mampu membuang ego dan kesombongan seseorang malah mereka akan sentiasa bersikap lebih merendah diri dalam kehidupan seharian.

"Sesuai dengan tema utama surah Al-Sajdah 'dunia bersujud' World #QuranHour kali ini memberi makna tersendiri dalam mengajak umat Islam untuk sentiasa 'bersujud'.

"Biarpun sambutan agak sederhana, paling penting penyertaan dalam World #QuranHour tahun ini dapat diteruskan dengan mesej tersendiri," katanya ketika ditemui selepas Program World"QuranHour di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah,UIAM Kuantan di sini pada Selasa.

Turut hadir, Pengarah Kampus UIAM Kuantan, Prof Dr Azmi Md Nor.

Dr Hasbullah berkata, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM Kuantan tidak melepas peluang mengambil bahagian dalam program itu setiap tahun.

"Bagaimanapun tahun ini kita menjadi antara hos Program Iktikaf Perdana Peringkat Negeri Pahang dengan kerjasama Jabatan Mufti Pahang jadi slot World #QuranHour menjadi sebahagian pengisiannya.

"Allhamdulillah hari ini kita bersama-sama menyertai dan menjayakan program ini melibatkan peserta Program Iktikaf Perdana, wakil pelajar UIAM, pelajar tahfiz dan wakil beberapa agensi kerajaan.

"Bacaan surah Al-Sajdah disampaikan qari jemputan manakala pentadabur, Pegawai Syariah Pusat Perubatan Sultan Haji Ahmad Shah, Abdul Rahman Al-Azmi," katanya.