Rumah Ngaji Kelantan tekad perhebatkan semula World #QuranHour

Qari, Mohamad Qayyim Nizar Sarimi (kiri) mengetuai bacaan ayat suci al-Quran semasa World #QuranHour di Mydin Mall Tunjong, Kota Bharu. Gambar kecil: Adnan
Qari, Mohamad Qayyim Nizar Sarimi (kiri) mengetuai bacaan ayat suci al-Quran semasa World #QuranHour di Mydin Mall Tunjong, Kota Bharu. Gambar kecil: Adnan
A
A
A

KOTA BHARU - Persatuan Rumah Ngaji Kelantan tekad memperhebatkan lagi kempen World #QuranHour yang dilihat agak suram sejak dua tahun kebelakangan ini ekoran pandemik Covid-19.

Pengerusi Rumah Ngaji Kelantan, Datuk Adnan Hashim berkata, langkah itu bertujuan menarik lebih ramai masyarakat untuk kembali membudayakan bacaan dan mengamalkan apa yang terkandung dalam kitab suci itu.

"Saya akui sambutan terhadap program ini agak menurun sepanjang tempoh Covid-19 disebabkan tiada program secara bersemuka.

"Namun dengan adanya sokongan dari rakan baharu iaitu Mydin Mall ini dan sudah boleh bersemuka, saya yakin World #QuranHour akan dapat kembali dipopularkan sekali gus menghidupkan semula amalan membaca al-Quran," katanya kepada pemberita pada Program World #QuranHour di Mydin Mall Tunjong, di sini pada Selasa.

Sebahagian daripada peserta World #QuranHour yang terdiri daripada pelajar tahfiz tidak melepaskan peluang menyertai program tersebut yang berlangsung serentak seluruh Malaysia.
Sebahagian daripada peserta World #QuranHour yang terdiri daripada pelajar tahfiz tidak melepaskan peluang menyertai program tersebut yang berlangsung serentak seluruh Malaysia.

Perasmian program itu disempurnakan oleh Pegawai hal Ehwal Imarah Masjid Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Rosli Che Soh.

Hadir sama Pengurus Eksekutif Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), Salim Mydin.

Menurutnya, melalui kerjasama itu, kempen berterusan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa supaya amalan baik ini kekal subur dalam kalangan masyarakat di Kelantan.

Beliau berkata, setiap pelanggan yang hadir ke Mydin Mall untuk membeli-belah akan disuburkan dengan kata-kata nasihat berkait dengan budaya membaca al-Quran.

Sebahagian daripada peserta yang hadir menjayakan Program World #QuranHour di Mydin Mall Tunjong, Kota Bharu pada Selasa.
Sebahagian daripada peserta yang hadir menjayakan Program World #QuranHour di Mydin Mall Tunjong, Kota Bharu pada Selasa.

Adnan berkata, selepas ini pihaknya akan menganjurkan kempen Malaysia #QuranHour pada bulan Ogos nanti.

"Untuk makluman di sini juga kita akan menghidupkan program bersama pelajar dalam mendekatkan mereka dengan al-Quran," katanya.

Sementara itu Salim berkata, pihaknya telah mewujudkan kelas-kelas al-Quran secara percuma kepada para pelanggan yang berkunjung ke Mydin Mall Kota Bharu.

"Kelas ini ada dua sesi iaitu jam 10 pagi hingga 12 tengah hari dan 3 petang hingga 4 petang yang berlangsung di surau Mydin Mall.

"Apa yang kita lakukan ini adalah usaha untuk menyuburkan lagi amalan membaca al-Quran dalam kalangan masyarakat," katanya.

Salim berkata, Mydin menyediakan guru untuk pelanggan yang ingin mengikuti kelas berkenaan.