Najib kemuka 94 alasan dalam petisyen rayuan

Najib. - Foto Bernama
Najib. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin mengemukakan 94 alasan dalam petisyen rayuannya berhubung mengapa beliau harus dibebaskan daripada tuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Antara alasan yang dibangkitkan dalam petisyen itu ialah Mahkamah Rayuan telah tersilap dalam fakta dan/atau undang-undang dalam mengesahkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap perayu (Najib) atas kesemua tujuh pertuduhan dan memanggilnya untuk membela diri.

Dalam petisyen rayuan yang difailkan melalui Tetuan Shafee & Co pada Isnin, Najib, 68, mendakwa beliau terkilan dengan kesilapan serius dalam fakta dan undang-undang yang diputuskan oleh kedua-dua mahkamah dalam alasan penghakiman masing-masing secara keseluruhan, dan kecuali yang dinyatakan dengan jelas, perayu berpendirian bahawa penemuan dalam keseluruhan alasan penghakiman oleh kedua-dua mahkamah (Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi) menunjukkan kesilapan yang serius.

"Mahkamah Rayuan telah tersilap dalam fakta atau undang-undang dalam mengesahkan dapatan fakta atau inferens Mahkamah Tinggi yang tidak dibuktikan sepenuhnya, dan tidak menggambarkan keterangan secara menyeluruh.

"Kedua-dua mahkamah tersilap dalam fakta dan/atau undang-undang dengan gagal menilai bukti dengan betul dan gagal mengiktiraf perbezaan antara fakta terbukti dan tidak terbukti, dan antara inferens yang dibenarkan dibuat, dan tekaan semata-mata berdasarkan cadangan, dakwaan tidak berasas, sangkaan, syak wasangka, dan khabar angin,” katanya.

Najib seterusnya mendakwa bahawa kedua-dua mahkamah tersilap fakta dan/atau undang-undang dalam setiap penemuan fakta yang tidak memihak kepadanya, selain telah tersilap fakta atau undang-undang dalam membuat penemuan mengenai unsur-unsur semua pertuduhan dengan menggunakan logik mereka sendiri atau rasional yang bertentangan dengan keterangan lisan atau dokumentari.

Justeru, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau akan membentangkan kesilapan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan tindakan pihak pendakwaan yang telah menafikan hak perayu di bawah Perlembagaan Persekutuan yang mengakibatkan ketidakadilan serius terhadapnya apabila gagal mendapatkan perbicaraan yang adil dan saksama.

Pada 11 April, Najib memohon lanjutan masa selewat-lewatnya hingga 25 April (hari ini) untuk memfailkan petisyen rayuan ke Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan sabitan dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, dan mahkamah hari ini membenarkan permohonannya.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Najib kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan. - Bernama