Pentakrifan semula banjir kilat perlu disegerakan

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub mencadangkan agar pentakrifan semula terhadap banjir kilat perlu disegerakan, selain menjadikan ia sebagai bencana alam kerana turut mendorong kepada situasi kemiskinan apabila berlaku krisis atau kerugian secara tiba-tiba.

Beliau berkata demikian susulan beberapa kawasan di sekitar ibu kota Kuala Lumpur sekali lagi mengalami banjir kilat sehingga menyebabkan kesesakan trafik yang teruk pada petang Isnin setelah hujan lebat berterusan selama lebih sejam.

“(Justeru), pentakrifan semula terhadap banjir kilat dan menjadikan banjir kilat tergolong sebagai bencana alam perlu disegerakan.

“Ini kerana banjir kilat turut mendorong kepada situasi kemiskinan apabila berlaku krisis atau kerugian secara tiba-tiba,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook milik beliau pada Isnin.

Sehubungan itu, beliau turut berharap agar bantuan dapat disegerakan kepada mereka yang terkesan, memandangkan perayaan Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang tidak lama lagi.

Pada Isnin, media melaporkan keadaan hujan lebat yang berterusan lebih sejam telah menyebabkan beberapa lokasi di ibu kota Kuala Lumpur dinaiki air sehingga menyebabkan berlakunya banjir.

Pusat Pengurusan Pengangkutan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (ITIS DBKL) dalam kenyataannya turut berkata, keadaan air naik dengan pantas ditambah dengan paras air sungai yang meningkat secara mendadak.