[VIDEO] Penanaman ketum, hem: Polis akur sebarang keputusan kerajaan

Ayob Khan
Ayob Khan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman akan akur terhadap sebarang keputusan kerajaan berhubung penanaman ketum dan hem bagi tujuan perubatan.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kerajaan perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk meminda undang-undang tertentu sebelum keputusan berhubung perkara itu dibuat.

“Kerajaan perlu membuat kajian mendalam serta mempertimbangkan pandangan pakar.

“Saya difahamkan bahawa undang-undang seperti Akta Racun perlu dikaji semula manakala isu pemilikan tanah (dalam bidang kuasa kerajaan negeri) juga perlu diambil kira," katanya pada sidang akhbar pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perkara itu masih dalam perbincangan dan prosesnya mengambil masa panjang.

"Aspek lain ialah dari segi kos untuk memulihkan penagih, kita mempunyai kira-kira 130,000 penagih di seluruh negara dan 25 peratus daripada mereka atau 36,000 ditempatkan di pusat pemulihan.

“Kos makanan bagi setiap penagih ialah RM45 sehari, kos makanan untuk setahun pula dianggarkan mencecah lebih RM500 juta," katanya.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, bagi penagih ketum mereka dihantar ke pusat pemulihan milik swasta.

"Jadi siapa yang nak tanggung kos? Itu antara perkara yang perlu diberi perhatian," katanya.

Pada Ahad, media melaporkan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, kabinet tidak mempunyai halangan dan sudah memberikan kebenaran untuk satu perbincangan dilakukan pihaknya yang mewakili Parlimen Padang Besar dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung kelulusan tanaman berkenaan yang hanya diperuntukkan untuk tujuan perubatan.

Zahidi berharap masyarakat juga tidak salah faham apabila kelulusan penanaman daun ketum diterima.

"Ia bukan untuk kegunaan sendiri seperti minum, sebaliknya kedua-dua tumbuhan ini iaitu ketum dan hem mendapat permintaan tinggi di luar negara," katanya.



BERITA SEMASA 25 APRIL 2022

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman akur sebarang keputusan kerajaan berhubung penanaman ketum dan hem bagi tujuan perubatan.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kerajaan perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk meminda undang-undang tertentu sebelum keputusan berhubung perkara itu dibuat.

Menurutnya, kerajaan perlu membuat kajian mendalam serta mempertimbangkan pandangan pakar.

Baca artikel penuh di : https://bit.ly/3xSi6f6

Muzik : www.bensound.com

#SinarHarian #BeritaSemasa" />