Fazil Group sumbang RM8,199

Mohamad Fazil menyerahkan replika cek sumbangan yang dikutip kepada Amran di pejabatnya.
A
A

MELAKA - Sebanyak RM8,199 berjaya dikumpulkan oleh Fazil Group, sebuah agensi insurans di Melaka bagi mengisi Tabung #Sinar4NZMartyrs untuk membantu keluarga mangsa yang meninggal dunia dan cedera dalam tragedi tembakan di dua masjid dekat Christchurch, New Zealand pada 15 Mac lalu.

Sumbangan diserahkan pengasas agensi itu, Datuk Seri Mohamad Fazil Shafie kepada Wartawan Sinar Harian Melaka, Amran Ali di pejabatnya, di Wisma Fazil di Jalan Munshi Abdullah, di sini.

Mohamad Fazil berkata, pihaknya terpanggil untuk mengutip sumbangan terbabit setelah tabung berkenaan dilancarkan Sinar Harian ekoran tragedi berdarah itu yang meragut nyawa 50 umat Islam termasuk seorang rakyat negara ini.

“Saya bersyukur, menerusi hasil kutipan yang dibuat di kalangan kakitangan pengurusan dan ejen kami berjaya memperoleh sejumlah RM8,199.

“Kami berharap ahli keluarga mangsa yang terlibat supaya bersabar dengan ketentuan ALLAH dan percaya setiap aturan-Nya ada kebaikan,” katanya.

Tabung #Sinar4NZMartyrs diwujudkan bagi membantu keluarga mangsa yang meninggal dunia dan cedera dalam tragedi tembakan berkenaan.

Kutipan terbahagi kepada tiga fokus utama iaitu mangsa yang meninggal dunia, mangsa yang cedera serta membantu membaik pulih masjid yang terjejas dalam tragedi yang menggemparkan dunia itu.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd: 5642 7652 9068.