Asah bakat guna barang kitar semula

Wakil e - idaman menyampaikan saguhati kepada penduduk sambil diperhatikan Nasriza (kanan).
A
A

YAN - Pendidikan berkaitan alam sekitar perlu didedahkan kepada masyarakat agar mereka dapat memahami peranan masing-masing.

Pegawai Perpaduan Yan Nasriza Long berkata, baru-baru ini pihaknya telah menganjurkan program Sentuhan Bestari Sayangi Komuniti.

Katanya, program ini diisi dengan kempen kitar semula dalam menangani isu kebersihan, keceriaan dan penyelenggaraan kemudahan di kawasan perumahan ini.

"Melalui program ini juga masyarakat dan e-Idaman dapat berkongsi tentang pelaksanaan Sistem Pengasingan Sisa Pepejal yang telah bermula dari tahun 2015," katanya.

Menurut Nasriza, program ini turut diisi dengan penerangan kepada masyarakat secara terus tentang kepentingan pengasingan sisa pepejal.

Barangan yang direka menggunakan barangan kitar semula.
Barangan yang direka menggunakan barangan kitar semula.

"Mereka boleh bertanya secara terus kepada pihak e - idaman sekiranya tidak memahami apa-apa perkara berkaitan," katanya.

Melalui program ini juga, masyarakat dapat mengasah bakat mereka agar lebih kreatif dengan menghasilkan barangan daripada kitar semula.

"Mereka yang berjaya menghasilkan barangan yang kreatif dan menarik akan menerima saguhati.

"Program ini telah berjaya dilaksanakan oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Yan dengan kerjasama e-Idaman Cawangan Yan," katanya.