Warga Indonesia bakar kereta polis dipercayai mental, berhalusinasi

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

PEKAN - Pekerja balak warga Indonesia yang melarikan diri selepas mengamuk dan membakar kereta polis di matau balak Kampung Selengkong, Nenasi dipercayai mengalami masalah mental.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf bagaimanapun berkata, siasatan lanjut terhadap tahap kesihatan suspek berusia 30-an itu perlu dilakukan.

Menurutnya, pihak polis berjaya menahan suspek di hutan berdekatan lokasi kejadian kira-kira jam 4.20 petang pada Ahad.

"Berdasarkan andaian saya berkemungkinan suspek mengalami mental, berhalusinasi sehingga bertindak membakar kenderaan polis.

"Siasatan awal berkemungkinan malatov koktel digunakan berdasarkan kepada kecepatan api merebak sehingga memusnahkan kereta polis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar program Pencegahan Ketua Polis Pahang bersama masyarakat daerah Pekan di pekarangan Masjid An- Nur di sini pada Ahad.

Ramli (kanan) menyampaikan sumbangan kepada pelajar tahfiz pada program Pencegahan Ketua Polis Pahang bersama masyarakat daerah Pekan di Pekarangan Masjid An-Nur di sini pada Ahad.
Ramli (kanan) menyampaikan sumbangan kepada pelajar tahfiz pada program Pencegahan Ketua Polis Pahang bersama masyarakat daerah Pekan di Pekarangan Masjid An-Nur di sini pada Ahad.

Menurutnya, turut dirampas bersama suspek ialah sebatang tukul dan kayu dipercayai digunakan dalam kejadian amukan terbabit.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Pekan pada Isnin untuk permohonan tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ)," katanya.

Dalam kejadia pada jam 11 malam pada Sabtu, suspek yang dikenali dengan nama ‘Asri’ itu dipercayai mengamuk dan bertindak membakar kereta peronda polis jenis Proton Waja dalam kejadian di Matau Kampung Selengkong, Nenasi, di sini.

Kejadian itu menyebabkan anggota polis mengalami kecederaan kecil selain kereta polis terbakar hampir keseluruhannya.