Pindaan Akta FAMA pada sesi Parlimen Julai

Ronald (dua dari kiri) mencuba bakat memasak ketupat sebagai gimik perasmian Majlis Semarak Syawal Peringkat Kebangsaan di Medan Niaga Satok, Kuching pada Ahad. - Foto Bernama
Ronald (dua dari kiri) mencuba bakat memasak ketupat sebagai gimik perasmian Majlis Semarak Syawal Peringkat Kebangsaan di Medan Niaga Satok, Kuching pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pindaan kepada Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) 1965 akan dibawa ke sesi Parlimen pada Julai depan bagi membolehkan FAMA mengurus pemasaran komoditi ternakan tertentu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pindaan itu akan memperluas skop fungsi FAMA terhadap pemasaran komoditi dan produk ternakan menerusi rantaian pemasarannya.

Beliau berkata, ia sekali gus dapat menstabilkan rantaian bekalan produk ternakan, selain membantu penternak dan usahawan tani memasarkan produk mereka dengan cara yang lebih berkesan.

“Ketika ini, tiada agensi khusus yang berfungsi dalam menjalankan aktiviti pemasaran ternakan.

“Melalui pindaan akta ini, FAMA akan mengambil peranan untuk turut mengedarkan komoditi ternakan dan menstabilkan rantaian bekalan bagi memastikan bekalan sentiasa berada dalam pasaran serta rantaian bekalannya tidak terganggu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut mengenai Program Semarak Syawal Peringkat Kebangsaan, beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui FAMA akan membuka 797 outlet pemasaran di seluruh negara.

Menurutnya, ia terdiri daripada pasar tani, pasar tani kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Agrobazaar Rakyat (ABR), Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR), My Farm Outlet (MFO) dan Medan Niaga Satok (MNS).

“Konsep outlet-outlet pemasaran ini bertujuan memberi peluang kepada usahawan untuk mengadakan jualan semasa musim Aidilfitri yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengunjung.

“Selain barangan segar seperti daging, ayam dan sayur-sayuran, pengguna juga berpeluang mendapatkan bekalan juadah Aidilfitri seperti ketupat, rendang, lemang serta kuih-kuih untuk keperluan Hari Raya Aidilfitri yang turut dijual di semua outlet pemasaran ini.

“MAFI memberi jaminan bekalan daging, ayam, sayur-sayuran dan kelapa mencukupi untuk sambutan Aidilfitri dan pengguna tidak akan menghadapi masalah mendapatkan barang keperluan ini memandangkan persediaan awal memastikan kelangsungan bekalan sentiasa dibuat oleh jabatan dan agensi di bawah MAFI,” jelas beliau.

Tambahnya, dengan pengoperasian 797 outlet pemasaran melalui Program Jualan Semarak Syawal pada kali ini, seramai 15,391 usahawan akan mendapat manfaat melalui penyediaan ruang-ruang jualan dan program promosi khas Syawal.

“Nilai jualan di outlet pemasaran yang disediakan ini disasarkan mencecah sehingga RM25 juta manakala nilai jualan MNS dijangka mencapai sebanyak RM1 juta sepanjang jualan pada 24 April hingga 2 Mei 2022,” katanya.

Untuk makluman, MNS adalah projek usaha sama antara FAMA dengan kerajaan negeri Sarawak melalui Kementerian Perumahan Sarawak.

Projek itu menyediakan pasar berkonsepkan moden, bersih, teratur dan lengkap dengan sistem pengurusan sisa buangan terkini yang dibina bagi menggantikan Pasar Satok di lokasi Jalan Satok yang makin usang dan tidak lagi sesuai berikutan masalah saliran, persekitaran yang kotor dan kesesakan lalu lintas.