JPN sedia bantu, beri khidmat nasihat isu anak Halim Othman

No Image Caption
A
A
A

JASIN - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedia memberikan khidmat nasihat dan bantuan kepada mana-mana pihak yang berdepan masalah membabitkan isu dokumentasi kelahiran, kematian, warganegara dan pendaftaran bagi kes rumit.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh berkata, ia termasuk kes membabitkan pengacara dan bekas penyampai radio, Halim Othman yang menyaksikan identiti anak perempuannya tidak berbintikan nama beliau.

"Bagi kes seumpama ini, mereka boleh hadir ke ibu pejabat JPN Putrajaya dan membawa dokumen berkaitan untuk kita semak dan berikan khidmat nasihat dalam menyelesaikan isu rumit yang dihadapi mereka ketika ini.

"Mereka boleh datang kepada kita untuk merujuk isu ini dan membawa dokumen misalnya jika ada sijil perkahwinan yang didaftar di Thailand, jika betul dokumen itu boleh kita buat pengesahan dan sebagainya kerana tanpa dokumen seperti ini, kita sukar bantu, namun apa yang penting adalah khidmat nasihat yang diberikan," katanya kepada pemberita di sini malam Jumaat.

Terdahulu, beliau melancarkan program Kongsi Rezeki Ramadan dan mengagihkan kira-kira 900 bekas bubur lambuk di depan pejabat JPN Jasin yang turut dihadiri Pengarah JPN negeri, Norazle Sulaiman.

Ruslin juga berkata, JPN telah memproses lebih 50,000 permohonan di bawah Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) dalam tempoh 2018 hingga kini yang melibatkan penggantian kad pengenalan, dokumen surat beranak dan sebagainya.

"Kita menyasarkan operasi di luar pejabat dengan membantu orang awam yang tidak mampu hadir seperti mereka yang sakit terlantar di hospital, orang kurang upaya, warga emas atau mereka yang tidak mempunyai akses kenderaan untuk menguruskan dokumentasi mereka.

"Kita juga bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk memberi kesedaran kepada golongan itu mengenai kepentingan mempunyai kad pengenalan dan surat beranak sebagai warganegara," katanya.

Beliau berkata, JPN juga akan turun padang secara berkala dalam memastikan mereka mendaftarkan kelahiran anak mereka dalam tempoh 60 hari agar tiada rakyat yang lahir di negara ini tercicir daripada menikmati kemudahan sewajarnya

"Selain itu, kita memperkenal inisiatif Bas Mekar dengan menyediakan tiga bas iaitu masing-masing satu di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bagi memastikan kelancaran program tersebut untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di negara ini," katanya. - Bernama