Lakukan siasatan menyeluruh sebelum teruskan projek LCS: Nik Nazmi

Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad meminta kerajaan supaya segera melakukan siasatan menyeluruh terhadap projek kapal tempur pesisir atau Littoral Combat Ship (LCS) sebelum kembali meneruskan projek tersebut.

Beliau berkata, walaupun terdapat beberapa penangkapan dilakukan berkaitan projek terbabit, kerajaan tidak boleh bersikap ‘denial’ terhadap masalah kewangan dan kelewatan penghantaran yang sebelum ini berlaku terhadap projek perolehan pertahanan terbesar negara itu.

“Sekiranya kita tidak belajar, hal yang sama akan berlaku lagi.

“Walaupun ada usaha menubuhkan jawatankuasa tadbir urus khas yang akan dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perbendaharaan dan Pertahanan adalah hal yang baik, perlu ada ketelusan mengenai siapa ahlinya dan seberapa banyak kuasa yang akan ada ke atas projek itu?

“Kita perlu tahu bila projek itu akan disiapkan, dan seberapa banyak kos baharu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau pada Jumaat.

Pada 30 Mac lalu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Parlimen dan kabinet telah bersetuju untuk meneruskan projek pembekalan perolehan LCS.

Bagaimanapun, beliau berkata, kaedah bagaimana projek berkenaan diteruskan akan diumumkan selepas jemaah menteri membuat keputusan akhir.

Pada masa sama, Hishammuddin pada 14 April lalu berkata, keputusan untuk meneruskan projek tersebut memerlukan perincian lanjut.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri berkata, meskipun mengakui projek tersebut memiliki kepentingan terhadap pertahanan negara, namun kesilapan dan kekurangan yang berlaku perlu diperbetulkan terlebih dahulu.

“Kita juga wajib ingat skandal projek kapal peronda generasi baharu (NGPV) oleh Penang Shipyard Corporation pada 2005.

“Rakyat Malaysia tidak boleh dipersalahkan jika kebimbangan berlarutan dalam kalangan mereka bahawa masalah seperti itu yang merugikan negara akan muncul lagi pada masa hadapan, walaupun kerajaan telah memberi jaminan ia tidak akan berlaku,” katanya.

Pada 25 Januari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa dua Ketua Pegawai Eksekutif syarikat yang terlibat dalam projek tersebut telah ditahan kerana disyaki melakukan penyelewengan dan menerima rasuah menerusi pembayaran dibuat kepada tiga syarikat di luar negara.

Projek LCS bernilai RM9.128 bilion dianugerahkan kepada sebuah syarikat oleh kerajaan melalui Kementerian Pertahanan pada tahun 2011 dengan sejumlah RM6 bilion sudah dibayar bagi tujuan pembinaan keenam-enam kapal berkenaan secara serentak.

Bagaimanapun, tiada satu pun LCS yang disiapkan dan diserah kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) setakat ini walaupun perjanjian kontrak pada Januari 2014 menggariskan bahawa LCS 1 iaitu dua buah kapal pertama sepatutnya diserahkan kepada kerajaan pada April 2019.