Terpaksa lepas tembakan, pemandu lori bawa arak enggan berhenti

Keadaan lori dipandu suspek selepas berjaya ditahan polis.
Keadaan lori dipandu suspek selepas berjaya ditahan polis.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pihak berkuasa terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ketika cuba menahan sebuah lori yang dipercayai membawa muatan minuman keras tidak bercukai dalam satu kejadian di Jalan Tuas - Lima Kedai, pada Khamis.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, tiga kereta polis membantu untuk menghentikan lori berkenaan yang cuba lari daripada pihak Kastam Diraja Malaysia.

“Kami menerima panggilan daripada pegawai kastam yang meminta bantuan bagi menahan sebuah lori disyaki membawa muatan tidak bercukai. Tiga unit kereta peronda kemudian ke tempat kejadian.

“Polis dan kastam mengejar suspek melibatkan jarak kira-kira 20 kilometer iaitu dari Jalan Danga Bay hingga suspek ditahan di susur Plaza Tol Lima Kedai.

“Beberapa das tembakan dilepaskan oleh pihak kastam untuk memaksa suspek memberhentikan lori,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Kamarul Zaman berkata, sebuah kereta peronda polis yang terlibat turut mengalami kerosakan kerana dilanggar oleh suspek.

“Suspek kemudian ditahan dan pemeriksaan dalam lori berkenaan mendapati ia sarat dengan muatan arak disyaki tidak bercukai yang boleh didakwa mengikut Akta Kastam 1967.

“Suspek juga didapati memiliki dua rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah. Siasatan kes akan diteruskan untuk mengesan saki-baki individu yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman 10 hari sehingga 1 Mei depan bagi membantu siasatan.