Sungai Merbok semakin terancam, nelayan terjejas

Pencemaran Sungai Merbok sejak lebih 10 tahun lalu menjejaskan sumber pendapatan nelayan.
Pencemaran Sungai Merbok sejak lebih 10 tahun lalu menjejaskan sumber pendapatan nelayan.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Nelayan dan penternak ikan dalam sangkar di Sungai Merbok semakin gelisah apabila sumber pendapatan mereka terjejas akibat pencemaran yang semakin serius.

Pencemaran dipercayai berpunca daripada sisa buangan dari bandar Sungai Petani, sisa racun dari kawasan sawah padi, sisa buangan kilang getah serta sisa buangan dari kolam ternakan udang.

Nelayan, Abdullah Baharom, 58, berkata, air sungai tersebut bertukar warna menjadi hitam setiap kali berlaku pencemaran.

“Masalah ini telah diadukan kepada pihak berkenaan beberapa kali tetapi tiada tindakan yang diambil,” katanya.

Menurutnya, pencemaran yang berlaku menyebabkan hasil tangkapan merosot dengan ketara, iaitu sekitar tiga kilogram (kg) hingga empat kg sehari, berbanding hasil sebelum ini yang mampu mencecah sehingga 30 kg sehari.

Sharudin Salleh, 46, pula memberitahu, sebahagian ikan, udang dan ketam dalam Sungai Merbok yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan kini diancam kepupusan akibat pencemaran tersebut.

“Saya kesal sebab masalah ini sudah lama berlarutan, sumber pendapatan dan kehidupan kami semakin terjejas namun tidak ada mana-mana pihak yang bertanggung jawab mengambil tindakan untuk mengatasinya,” katanya.

Bubu tidak dapat digunakan akibat pencemaran yang berlaku di Sungai Merbok.
Bubu tidak dapat digunakan akibat pencemaran yang berlaku di Sungai Merbok.

Dalam pada itu, tinjauan yang dilakukan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati, nelayan terlibat berdepan dengan masalah tersebut sejak lebih 10 tahun lalu, menyebabkan ikan, udang dan ketam dalam sungai berkenaan semakin pupus.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader menggesa kerajaan negeri Kedah, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi terlibat menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca pencemaran serta pihak bertanggungjawab melakukan pencemaran sungai tersebut.

“Tindakan undang-undang yang tegas perlu dikenakan ke atas mereka yang terlibat, pada masa sama pemantauan secara berterusan oleh pihak berkuasa hendaklah dilakukan supaya kejadian tidak lagi berulang,” katanya.

Menurutnya, sekiranya punca pencemaran tidak ditangani secara berkesan, ia bukan sahaja mencemarkan alam sekitar dengan lebih serius malah nelayan dan penternak ikan dalam sangkar di sungai tersebut kemungkinan terputus mata pencarian pada masa akan datang.

“CAP harap kerajaan negeri dedahkan hasil siasatan yang menyebabkan pencemaran Sungai Merbok ini, termasuk tindakan yang diambil.

“Kami juga mengesyorkan agar nelayan dan penternak yang terjejas sumber pendapatan diberikan pampasan bagi meringankan beban kehidupan yang terpaksa ditanggung selama ini,” katanya lagi.