Faktor muka bumi cabaran jejaki tahanan Rohingya lolos dari depot

Operasi mengesan tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri turut dilakukan di ladang kelapa sawit sekitar Bandar Baharu. Foto: Bernama
Operasi mengesan tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri turut dilakukan di ladang kelapa sawit sekitar Bandar Baharu. Foto: Bernama
A
A
A

BANDAR BAHARU - Keluasan Bandar Baharu hampir 170 kilometer persegi selain faktor bukit-bukau menjadi antara cabaran pihak berkuasa mengesan saki-baki tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap pada awal pagi Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Mohd Akmal Hizam Abd Khupur berkata, tahanan yang masih belum diberkas itu berkemungkinan bersembunyi di ladang kelapa sawit dan kebun buah-buahan milik penduduk kampung.

"Untuk makluman daerah Bandar Baharu mempunyai kawasan berbukit-bukau dan lebih kepada ladang kelapa sawit dan juga ladang buah-buahan. Jadi kebarangkalian mereka (tahanan) bertindak dengan cara bersembunyi adalah besar,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Bandar Baharu.

Bernama yang berpeluang mengikuti operasi pencarian tahanan bersama polis pada malam hari pertama kejadian di ladang kelapa sawit di Sungai Rambai merasai sendiri kepayahan yang dihadapi pihak berkuasa.

Selain keadaan yang gelap dan melalui kawasan pemukaan tanah yang tidak rata, pasukan pencarian juga berisiko berhadapan dengan haiwan berbisa seperti ular dan kala jengking.

Dalam operasi itu, dua tahanan berjaya diberkas selepas bersembunyi dalam semak di ladang berkenaan.

Mohd Akmal Hizam berkata, bantuan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) melibatkan seorang pegawai dan 30 anggota memudahkan Op Kesan yang dilancarkan khusus untuk menjejaki saki-baki tahanan itu.

"Kami memerlukan bantuan daripada PGA kerana mereka mempunyai kemahiran dalam mengesan (tahanan) di kawasan seperti ini. Pasukan Cantas dan Ops Kesan akan melakukan pencarian sekitar pinggir jalan dan kita percaya dengan bantuan PGA yang ‘mengacau’ kawasan dalam iaitu bukit bukau ini, mereka (tahanan) akan keluar dan tangkapan boleh dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G Suresh Kumar berkata, dengan adanya kerjasama daripada PGA dan agensi penguatkuasaan lain, gerak kerja mengesan tahanan tersebut dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, seramai 528 warga asing terdiri daripada etnik Rohingya yang merupakan tahanan di Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, melarikan diri dari depot yang menempatkan 664 orang tahanan itu.

Enam daripada mereka maut dirempuh kereta ketika cubaan melarikan diri di lebuh raya. Setakat jam 6 pagi ini, 96 tahanan belum ditemukan.

Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap terletak di kawasan Relau, Bandar Baharu, Kedah, namun pengurusan depot tersebut adalah di bawah Jabatan Imigresen Pulau Pinang. - Bernama