[VIDEO] 6 PATI maut kemalangan, 229 tahanan ditahan semula

Antara PATI dari Pusat Tahanan Relau yang melarikan diri berjaya ditahan semula.
Antara PATI dari Pusat Tahanan Relau yang melarikan diri berjaya ditahan semula.
A
A
A

BANDAR BAHARU - Seramai 229 tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan semula manakala enam lagi ditemukan maut kemalangan dalam cubaan melarikan diri.

Kesemua mereka merupakan tahanan yang melarikan diri dari Pusat Tahanan Relau, di sini dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi Rabu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Suhaily Mohd Zain berkata, dalam kejadian itu, enam PATI yang cuba melintas di Kilometer 165 Lebuhraya Utara Selatan maut dilanggar kenderaan dalam kejadian lebih kurang jam 6.50 pagi.

Menurutnya, mangsa maut terdiri daripada dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa, satu kanak-kanak perempuan dan satu kanak-kanak lelaki.

"Dalam usaha melepaskan diri tadi, enam daripada tahanan maut dalam nahas ketika cuba melintas lebuh raya.

"Akibat kejadian, baki tahanan yang melarikan diri seramai 229 orang ini tidak lagi berani melintas lebuh raya dan mengambil keputusan melusuri laluan ini sehingga ke mana destinasi pun tidak pasti,"katanya kepada media di lokasi kejadian pada Rabu.

Menurut Mohd Suhaily, kesemua mereka akhirnya berjaya ditahan semula di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke selatan.

Keadaan Pusat Tahanan Relau selepas kira-kira 700 tahanan PATI dari Pusat Tahanan Relau di sini melarikan diri beramai-ramai lebih kurang jam 4 pagi Rabu.
Keadaan Pusat Tahanan Relau selepas kira-kira 700 tahanan PATI dari Pusat Tahanan Relau di sini melarikan diri beramai-ramai lebih kurang jam 4 pagi Rabu.

"Dimaklumkan kepada pihak kami seramai 528 tahanan melepaskan diri daripada jumlah 663 orang.

"Orang kampung juga telah membantu menahan 88 orang dan serah kembali kepada pihak imigresen.

"Kita masih lagi mencari seramai 205 orang yang memerlukan tenaga sepenuhnya daripada pihak kami dan bantuan orang ramai diperlukan.

"Alhamdulillah ada sekumpulan anak muda daripada pagi tadi telah berjaya menjejaki kumpulan ini yang kita tangkap 229 orang dan hubungi pihak polis segera," katanya.

Sinar Harian sebelum melaporkan kira-kira 700 tahanan PATI dari Pusat Tahanan Relau di sini melarikan diri beramai-ramai lebih kurang jam 4 pagi Rabu.