Pesara kerajaan rugi RM373,000 ditipu Macau Scam

PDRM
PDRM
A
A
A

KANGAR- Seorang pesara kerajaan kerugian RM373,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam sejak November lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perlis, Superintendan Wan Aedil Wan Abdullah berkata wanita berusia 61 tahun itu membuat laporan mengenai kejadian pada semalam.

Beliau berkata mangsa diperdaya selepas menerima panggilan telefon daripada suspek yang mendakwa mewakili syarikat insurans dan menyatakan mangsa telah membuat tuntutan bayaran pampasan rawatan perubatan atas dasar kemalangan.

"Suspek kemudian menyambungkan panggilan berkenaan kepada pegawai polis yang menyatakan bahawa mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

"Mangsa dikatakan disambungkan panggilan berkenaan kepada pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur yang menggelarkan dirinya sebagai Puan Yong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Aedil berkata sindiket berkenaan telah mengarahkan mangsa supaya memasukkan semua wang simpanannya ke dalam satu akaun bank selain diminta mendaftarkan nombor telefon milik suspek ke atas akaun berkenaan.

Beliau berkata mangsa turut diarahkan melakukan pemindahan wang dan menyerahkan maklumat akaun berkenaan kepada suspek sehingga menyebabkan berlakunya transaksi secara dalam talian tanpa disedari mangsa.

"Transaksi pemindahan wang berlaku sejak November 2021 hingga bulan ini dan mangsa hanya menyedari kejadian itu selepas mendapati baki di dalam akaun banknya hanya RM124.20,” katanya.

Berikutan itu, Wan Aedil berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan hasil semakan mendapati terdapat dua talian telefon digunakan suspek berkaitan dengan 25 kes yang dilaporkan seluruh Malaysia.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah panik dan percaya dengan modus operandi sindiket berkenaan serta menyemak terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang tindakan menerusi perkhidmatan CCID Scam Response Center Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di talian 03-2610 1559 atau 03-2610 1599. - Bernama