128 individu ditahan dalam Ops Tapis Khas Siri 3

Sebanyak 128 individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penagihan dadah dalam Ops Tapis Khas Siri 3 pada 18 hingga 20 April lepas. - Gambar hiasan
Sebanyak 128 individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penagihan dadah dalam Ops Tapis Khas Siri 3 pada 18 hingga 20 April lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Sebanyak 128 individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penagihan dadah dalam Ops Tapis Khas Siri 3 pada 18 hingga 20 April lepas.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, operasi selama tiga hari itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka bersama JSJN Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah di kawasan pesisiran pantai serta jeti di seluruh negeri itu.

"Kesemua 128 individu ditahan melakukan kesalahan mengikut pelbagai seksyen, termasuklah 12 individu ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 51 tangkapan di bawah Seksyen 12 (3) ADB 1952.

"Turut ditahan 17 individu di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 manakala 37 individu ditahan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, polis turut menahan seorang individu berada dalam senarai dikehendaki manakala seorang lagi diambil tindakan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

"Kesemua individu terbabit berusia dalam lingkungan 20 hingga 69 tahun dengan 122 lelaki dan enam perempuan," katanya.

Menurut Zainol, sepanjang tempoh itu pihak polis berjaya merampas dadah jenis heroin seberat 1,111.20 gram (g), syabu (36.56g), ganja (2.04g), cecair ketum (213.75 liter) dan daun ketum sebanyak 13.5 kilogram.

"Pihak polis khasnya JSJN akan terus menjalankan operasi dari semasa ke semasa di kawasan pesisiran pantai dan jeti di seluruh negeri ini.

"Kami juga menyeru agar masyarakat tampil menyalurkan maklumat kepada polis untuk membanteras penyalahgunaan dadah di Melaka," katanya. - Bernama