Lif rosak, penduduk derita turun naik tangga

Rodziah (tengah) mempengerusikan mesyuarat isu lif Permai Court 2 pada Rabu.
Rodziah (tengah) mempengerusikan mesyuarat isu lif Permai Court 2 pada Rabu.
A
A
A
AMPANG- Penduduk Pangsapuri Permai Court 2 di sini menderita lebih seminggu apabila kedua-dua lif yang terdapat di bangunan 16 tingkat itu rosak menyebabkan mereka terpaksa mendaki tangga untuk naik ke rumah.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, permasalahan penduduk itu diadukan kepadanya tiga hari lalu sebelum satu mesyuarat bersama agensi terlibat diatur pada Rabu.

Menurutnya, hasil mesyuarat berjaya mencari penyelesaian dan dijangka penduduk dapat menggunakan salah satu lif berkenaan pada Khamis.

"Isu lif di kawasan tersebut dibawa kepada saya sejak tahun lepas dan telah dirujuk ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkenaan salah satu lif yang diselenggara di bawah peruntukan kementerian tersebut.

"KPKT telah mengambil tindakan dan menyelesaikan permasalahan itu namun lif tersebut masih belum boleh digunakan disebabkan belum menerima sijil perakuan sijil Pendaftaran Mesin Angkat (PMA) daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

"Ia disebabkan ejen pengurusan bangunan tersebut yang tidak menjelaskan bayaran akhir sebanyak RM173 bagi sijil PMA menyebabkan lif yang telah lama siap dibaiki belum boleh beroperasi," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mengulas lanjut Rodziah berkata, pihaknya telah menegur ejen pengurusan yang tidak mengambil tindakan sewajarnya hingga menyebabkan masalah tersebut berlarutan dalam tempoh lama.

Pada masa sama, beliau mengarahkan satu lagi lif ditutup sepenuhnya bagi kerja baik pulih atas faktor keselamatan.

"Lif berkenaan telah diberi notis pada 2016 untuk diselenggara kerana tidak selamat digunakan namun tiada tindakan susulan dilakukan.

"Kita cadangkan lif tersebut ditutup sepenuhnya dan kerajaan negeri bersetuju menyediakan peruntukan sebanyak RM43, 400 di bawah Skim Ceria supaya lif berkenaan dibaiki secepat mungkin," katanya.

Selain itu katanya, pangsapuri tersebut akan dimasukkan dalam projek Green Building (bangunan hijau) iaitu melaksanakan pemasangan solar panel bagi penjimatan elektrik oleh syarikat yang dilantik.

Beliau berkata, hasil lawatan dilakukan pada tahun mendapati pangsapuri berkenaan menghadapi pelbagai masalah seperti tangki air, lif, kutipan bil penyelenggaraan disebabkan isu pengurusan serta kewangan terhad.

Katanya, kebanyakan rumah strata menghadapi isu sama dan beliau berharap kerajaan dapat meneliti semula Akta 767 melibatkan kutipan penyelenggaraan yang diserahkan kepada penduduk dan perlu diambil alih oleh agensi atau pihak berwajib.

Jelasnya, penduduk tiada keupayaan menguruskan kutipan penyelenggaraan kerana bidang kuasa terhad menyebabkan penguatkuasaan tidak dapat dilakukan secara menyeluruh.