Polis rakam percakapan kakitangan Imigresen

Lokasi insiden rusuhan membabitkan tahanan Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap Pulau Pinang. Gambar kecil: Suresh Kumar
Lokasi insiden rusuhan membabitkan tahanan Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap Pulau Pinang. Gambar kecil: Suresh Kumar
A
A
A

BANDAR BAHARU - Polis akan merakam percakapan kakitangan Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap Pulau Pinang yang bertugas pada malam insiden rusuhan membabitkan 528 etnik Rohingya melarikan diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G Suresh Kumar berkata, setakat ini rakaman percakapan sedang diuruskan membabitkan kesemua kakitangan terlibat.

Menurutnya, selain kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia, pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas di depot pada malam kejadian juga akan dirakam percakapan.

"Kita tengah uruskan di mana semua petugas pada malam kejadian akan dibuat rakaman percakapan, malam kejadian melibatkan dua agensi bertugas iaitu Jabatan Imigresen Malaysia dan anggota Rela," katanya kepada media ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Bandar Baharu pada Khamis.

Apabila ditanya berhubung kawalan keselamatan di lokasi kejadian sehingga menyebabkan lebih 500 tahanan melarikan diri, Suresh berkata, depot terbabit berada dalam kawalan Jabatan Imigresen Malaysia dan agensi berkenaan lebih layak memberi penjelasan.

"Semua pusat tahanan ada prosedur operasi standard (SOP) dan ini adalah pusat tahanan sementara, malah sebelum ini belum pernah kejadian seumpama ini berlaku," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seramai 528 pelarian etnik Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang kira-kira jam 4.30 pagi Rabu.