[VIDEO] Lima beranak maut kebakaran: Tiga melecur dalam bilik air, dua rentung di luar kediaman

A
A
A

RAUB – Lima sekeluarga yang maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat di sini Khamis ditemui dalam keadaan menyayat hati.

Tiga daripada mereka ditemukan dalam keadaan melecur di dalam bilik air manakala dua lagi rentung di luar kediaman.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi itu, mangsa yang maut ialah Mohd Alawi Muhammad, 56; isterinya, Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta tiga anak mereka, Ruby Adira Batrisya, 17; Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azyan Barizah, 10.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, pasangan suami isteri bersama seorang anak mereka ditemui melecur di bilik air di dalam rumah tersebut.

Menurutnya, dua lagi anak perempuan dijumpai di luar rumah sebaik pasukan bomba tiba pada jam 4.15 pagi, dipercayai cuba menyelamatkan diri daripada api dan asap.

“Tiga mangsa ditemui selepas operasi pemadaman selesai, manakala jarak antara mangsa di luar rumah dan dalam bilik air dianggarkan kira-kira enam meter.

"Berdasarkan keadaan mereka di bilik air, mangsa dipercayai mencari tempat berhampiran sumber air untuk berlindung, namun asap tebal menyebabkan mereka sesak nafas,” katanya ketika sidang akhbar di lokasi kejadian.

Hadir sama Pengarah JBPM Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim.

Artikel Berkaitan:

NO HISHAM
NO HISHAM

Nor Hisham berkata, mangsa mungkin menyedari api sudah marak, sekali gus menyukarkan usaha mereka menyelamatkan diri.

Beliau menambah, siasatan awal mendapati kedua-dua laluan keluar tidak dipasang jeriji besi dan boleh dibuka dengan cepat.

“Ketika mereka sedar kebakaran sudah merebak dan penglihatan mereka mungkin terhad akibat asap dan menyukarkan mereka mengambil tindakan.

"Semua fakta ini akan dirumuskan selepas siasatan di peringkat negeri. Dalam masa sama, unit pengesan anjing akan dikerahkan untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti jika ada unsur lain terlibat,” jelasnya.

Terdahulu, Mohd Razam memaklumkan pihaknya tiba di lokasi pada 4.15 pagi dan operasi pemadaman berjaya mengawal api pada 4.48 pagi.

Kebakaran memusnahkan sepenuhnya struktur rumah dan turut melibatkan tiga kereta serta motosikal.

Ringkasan AI

  • Lima sekeluarga maut dalam kebakaran rumah di Kampung Pamah Kulat, Raub Tiga mangsa melecur di dalam bilik air, dua lagi rentung di luar rumah Kelima-lima mangsa terdiri daripada pasangan suami isteri dan tiga anak mereka Dua anak perempuan cuba menyelamatkan diri dari api dan asap Kedua-dua laluan keluar rumah tidak dipasang jeriji besi, menyukarkan penyelamatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!