177,000 PATI telah daftar PRM 2.0, pendaftaran dijangka meningkat menjelang perayaan

Zakaria (kiri) menghadiri program Semarak Ramadan di Ibu Pejabat JIM di Putrajaya pada Khamis.
Zakaria (kiri) menghadiri program Semarak Ramadan di Ibu Pejabat JIM di Putrajaya pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA –  [DIKEMAS KINI] Sebanyak 177,161 pendaftaran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) telah diterima Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melalui Program Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) 19 Mei tahun lalu sehingga 23 Februari 2026.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, sambutan terhadap PRM 2.0 dijangka meningkat terutama menjelang musim perayaan.

"Kita tidak lagi menggunakan sistem janji temu bagi urusan PRM, sebaliknya membuka kaunter secara walk-in.

"Bagaimanapun, keutamaan diberikan kepada individu yang hadir lebih awal bagi membolehkan urusan selesai pada hari sama. Mereka yang tidak sempat menyelesaikan proses perlu menunggu giliran pada hari berikutnya," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Semarak Ramadan JIM di sini pada Khamis.

Zakaria berkata, lebih 100,000 PATI telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing menerusi pelaksanaan PRM.

"Selain itu, kita berjaya menjana kutipan hasil melebihi RM88 juta untuk kerajaan setakat ini," katanya.

Beliau berkata, PRM 2.0 dijadualkan berakhir pada 30 April ini, namun ia masih berada dalam perbincangan di peringkat kementerian sama ada akan diteruskan atau ditamatkan selepas tempoh berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, program pengampunan pulang PATI sukarela itu khusus untuk Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurutnya, melalui program berkenaan, pendatang asing terlibat dikecualikan tindakan pendakwaan dan ditawarkan kompaun mengikut kesalahan ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Bagi kesalahan memasuki dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah dan kesalahan tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas dikeluarkan dikenakan kompaun sebanyak RM500.

Kesalahan melanggar syarat pas pula kompaun RM300 dikenakan dan bagi semua kategori permohonan, individu terlibat juga turut dikenakan bayaran pas khas sebanyak RM20 bagi setiap pengeluaran.

Kanak-kanak warga asing yang berumur di bawah 18 tahun yang tinggal lebih masa atau dibawa masuk ke Malaysia tanpa suatu pas yang sah adalah dikecualikan daripada kompaun, namun perlu membayar pas khas yang sama (RM20).

PRM 2.0 merupakan lanjutan siri pertama yang tamat pada 31 Mac tahun lalu

Menjelaskan lebih lanjut, Saifuddin Nasution bagaimanapun berkata, PRM 2.0 itu tidak ditawarkan kepada PATI yang telah mendaftar dan gagal membuat perjalanan keluar di bawah program sama sebelum ini.

Ringkasan AI

  • Jabatan Imigresen Malaysia telah menerima 177,000 pendaftaran PATI melalui PRM 2.0 sehingga 23 Februari lalu
  • Sistem janji temu dihapuskan, kaunter dibuka secara walk-in dengan keutamaan kepada individu yang hadir lebih awal
  • Lebih 100,000 PATI telah dihantar pulang ke negara asal melalui PRM dan telah menjana kutipan hasil lebih RM88 juta untuk kerajaan
  • PRM 2.0 dijadualkan berakhir pada 30 April ini, masih dalam perbincangan sama ada akan diteruskan atau ditamatkan
  • Program ini menyediakan pengampunan dengan kompaun mengikut kesalahan dan bayaran pas khas sebanyak RM20 bagi setiap pengeluaran

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!