Apa punca tahanan boleh lolos?

Seramai 385 daripada kesemua tahanan yang melarikan diri telah berjaya ditangkap semula oleh pihak berkuasa.
Seramai 385 daripada kesemua tahanan yang melarikan diri telah berjaya ditangkap semula oleh pihak berkuasa.
A
A
A

NEGARA dikejutkan pada pagi Rabu dengan berita mengenai kejadian kira-kira 528 orang tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari dari Depot Imigresen Sementara Relau, Bandar Baharu, Pulau Pinang.

Kejadian pada jam 4.30 pagi itu berlaku selepas tahanan dipercayai merusuh sebelum melarikan diri dengan memecahkan pintu blok dan geriji penghadang di depot tersebut.

Susulan kejadian itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud pada Rabu memaklumkan setakat jam 6.10 petang, seramai 385 daripada kesemua tahanan yang melarikan diri telah berjaya ditangkap semula oleh pihak berkuasa.

Jumlah tersebut menurut beliau merangkumi 183 lelaki, 73 wanita, 62 kanak-kanak lelaki dan 59 kanak-kanak perempuan

Enam daripada tahanan yang melarikan diri dilaporkan maut selepas dilanggar kenderaan ketika cuba melintas di Kilometer 165 Lebuhraya Utara Selatan sekitar jam 6.50 pagi sementara seorang lagi meninggal di dalam tahanan sebelum kejadian rusuhan.

Khairul Dzaimee bagaimanapun berkata, satu kematian yang dilaporkan di dalam depot berkenaan masih sedang dalam siasatan dan ia dipercayai berlaku akibat sakit biasa dan tiada kena mengena dengan rusuhan.

Dalam pada itu, Khairul Dzaimee berkata, gerakan mencari baki tahanan lain masih sedang diteruskan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan bersama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau pada masa sama turut memaklumkan depot tersebut yang disewa sejak tahun lepas dan boleh menampung kapasiti sehingga 700 orang tahanan, dikawal dengan ketat oleh Imigresen dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Katanya, terdapat seramai 61 anggota Imigresen dan 45 anggota Rela ditugaskan di depot berkenaan, dengan seramai 15 anggota ditugaskan untuk mengawal bagi setiap giliran penugasan.

Khairul Dzaimee turut berkata, tahanan yang terbabit dalam kejadian tidak menggunakan sebarang peralatan bagi meloloskan diri daripada depot berkenaan.

Sementara itu, Polis Kedah memaklumkan sebuah pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat kejadian tersebut.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pasukan khas terbabit akan melakukan siasatan dan mengenal pasti masalah ataupun elemen yang menyebabkan berlakunya kejadian tahanan melarikan diri daripada depot tersebut.

Katanya, pasukan terbabit akan diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Datuk G Suresh Kumar melibatkan 13 pegawai dan anggota.

Wan Hassan turut memberitahu bahawa siasatan mendapati ada sebilangan tahanan yang bolos dipercayai menahan dan menumpang kenderaan orang awam.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang awam supaya tidak melindungi tahanan yang melarikan diri daripada depot tahanan sementara tersebut.

Pada masa sama, Persatuan Rohingya Malaysia Kedah pada Rabu mendakwa tindakan tahanan etnik itu melarikan diri itu mungkin berlaku disebabkan mereka sudah terlalu lama berada dalam depot tersebut.

Pengerusinya, Yusof Ali berkata, sebahagian besar daripada mereka juga didakwa sudah pun memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).

Yusof berkata, beliau memohon kerajaan untuk menggunakan budi bicara untuk membantu etnik tersebut kerana negara lain masih belum bersedia menerima mereka.

Menurutnya, terdapat di kalangan mereka yang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan kad UNHCR sekali gus memberikan masalah kepada pelarian tersebut.