Tiada peralatan dikesan digunakan pelarian Rohingya lari dari depot

Pagar Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap rosak dalam kejadian 528 tahanan pelarian etnik Rohingya melarikan diri awal pagi Rabu.- Foto Bernama
Pagar Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap rosak dalam kejadian 528 tahanan pelarian etnik Rohingya melarikan diri awal pagi Rabu.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada peralatan yang dikesan telah digunakan pelarian Rohingya ketika melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Kedah.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud yang dihubungi Bernama di sini pada Rabu berkata, kesemua warga asing itu, melarikan diri dengan memecahkan pintu blok dan jeriji penghadang menggunakan kekuatan tenaga.

"Mereka (tahanan) ini hanya ‘bare hand’,” katanya sebagai mengulas pertanyaan mengenai kemungkinan terdapat sebarang peralatan digunakan kumpulan warga asing itu, untuk meloloskan diri dari depot berkenaan.

Beliau berkata depot tersebut disewa sejak tahun lepas dan boleh menampung kapasiti sehingga 700 orang tahanan, dikawal dengan ketat oleh JIM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Katanya, terdapat seramai 61 anggota JIM dan 45 anggota Rela ditugaskan di depot berkenaan, dengan seramai 15 anggota ditugaskan untuk mengawal bagi setiap giliran penugasan.

Terdahulu, seramai 528 warga asing terdiri daripada etnik Rohingya yang merupakan tahanan di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, melarikan diri dari depot tersebut dalam kejadian awal pagi hari ini.

Daripada 528 yang melarikan diri dari depot yang menempatkan 664 orang tahanan itu, seramai 357 telah ditemui termasuk enam yang maut selepas mereka terlibat dalam kemalangan, ketika melintas jalan di Kilometer 168 PLUS menghala selatan iaitu berhampiran kawasan Jawi. - Bernama