Fahami mesej, bukan jumlah kehadiran: Mujahid

Mujahid bersalaman dengan anak kariah yang hadir pada program Rahmah Masjid di Masjid Al-Fateh.
A
A

JITRA - Masyarakat diminta memahami mesej yang ingin disampaikan menerusi deklarasi himpunan Solidariti Kedamaian yang diadakan semalam di ibu negara, berbanding hanya melihat kepada jumlah kehadiran peserta himpunan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, program yang didakwa kurang mendapat sambutan susulan jumlah kehadiran tidak seperti himpunan-himpunan lain adalah terlalu subjektif.

Beliau sebaliknya berkata, berpuas hati dengan jumlah kehadiran peserta ke program tersebut memandangkan ia dirancang dalam masa singkat.

“Soal ramai atau tidak ia subjektif, ambil gambar dari atas dan tunjukkan himpunan ramai atau tidak, kenapa orang tidak melihat mesej yang mahu disampaikan, itu yang patut dibincangkan bukan jumlah kehadiran,” katanya, selepas melancarkan program Rahmah Masjid di Masjid Al-Fateh, Tanjung Pauh, hari ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Datuk Dr Ismail Salleh.

Menurutnya, tidak wajar mana-mana pihak cuba memanipulasi isu terbabit berbanding memahami mesej deklarasi yang akan dihebahkan ke seluruh negeri.

“Dalam media sosial, program kita disiarkan secara langsung dan saya sempat tengok ratusan ribu orang menonton menerusi Facebook.

"Dalam masa singkat, kita berjaya kumpulkan wakil pelbagai kaum, inilah mesej Islam, iaitu kedamaian,” katanya.

Mujahid berkata, pihaknya yakin mesej deklarasi kedamaian itu akan diterima dengan baik oleh semua pihak, termasuk bukan Islam.

“Kita akan turun ke akar umbi dan perjelaskan kepada rakyat, yang penting deklarasi itu beri kita kekuatan,” katanya.

Semalam, himpunan Solidariti Kedamaian dihadiri lebih 2,000 orang dari pelbagai bangsa dan agama di Dataran Merdeka yang dianjurkan susulan tragedi serangan pengganas di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand, minggu lalu.

Mengulas mengenai kes membabitkan kenderaan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang disyaki dibakar di kediamannya, Mujahid enggan membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan kepada polis untuk siasatan.

“Saya yakin polis dapat merungkai kes ini, saya doakan agar tiada unsur yang membimbangkan dari aspek keselamatan Mohd Asri.

"Inilah antara sebab himpunan damai diadakan, untuk menyedarkan orang ramai walau berbeza pandangan, jangan sehingga ada unsur yang boleh mengancam nyawa,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia