Perniagaan kuih raya makin rancak

Suhaiza Ibrahim sedang menyusun kuih tradisional dan moden yang terdapat di kedainya di pusat beli-belah Angsana Mall Johor Bahru, Bandar Baru Uda, Johor Bahru pada Rabu.
Suhaiza Ibrahim sedang menyusun kuih tradisional dan moden yang terdapat di kedainya di pusat beli-belah Angsana Mall Johor Bahru, Bandar Baru Uda, Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Peniaga-peniaga kuih raya terutama di pusat beli-belah Angsana Mall Johor Bahru di sini kini menarik nafas lega susulan pembukaan sempadan antarabangsa.

Ini ditambah lagi dengan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula Isnin semakin merancakkan perniagaan.

Menurut mereka, pusat beli-belah tersebut yang sebelum ini sepi dan lengang kini kembali menjadi tumpuan umat Islam termasuk dari Singapura untuk membeli persiapan Aidilfitri.

Menurut pemilik Sues Home Backers Enterprise, Suhaiza Ibrahim, 45, kemeriahan dan perniagaannya rancak semula sebelum Ramadan lagi apabila sempadan antarabangsa dibuka 1 April lalu.

Suhaiza Ibrahim
Suhaiza Ibrahim

Dia berkata, kedainya menawarkan 60 jenis kuih raya tradisional dan moden yang dibuat sendiri di rumah.

"Semua kuih dan biskut berkenaan dibuat sendiri dan sebab itu, harga untuk semua kuih dan biskut raya yang kami hasilkan masih tidak berubah, sama macam tahun-tahun sebelum ini.

"Walaupun peniaga dan pembuat kuih mengalami kenaikan harga bahan mentah tetapi kami masih mengekalkan harga.

"Kuih dan biskut berkenaan dijual pada harga RM18 satu balang biasa dan RM28 untuk satu balang besar. Jika beli enam balang biasa hanya RM100 manakala beli empat balang besar hanya RM100," katanya ketika ditemui di pusat beli-belah tersebut pada Rabu.

Katanya, antara kuih tradisional dan moden yang terdapat di kedainya seperti Bangkit Santan, Bangkit Gula Melaka, Tart Butter, Batang Buruk dan Ferera Square selain beberapa jenis kerepek.

Sementara itu, pemilik Nahar Power, Mohd Naharudin Isa, 53, berkata, sebelum ini perniagaan yang menawarkan pelbagai jenis kuih tradisional dan moden terjejas semasa Ramadan dua tahun sebelum ini.

Seorang pekerja kedai Nahar Power melayan pelanggan di kedainya di pusat beli-belah Angsana Mall Johor Bahru, Bandar Baru Uda, Johor Bahru, pada Rabu.
Seorang pekerja kedai Nahar Power melayan pelanggan di kedainya di pusat beli-belah Angsana Mall Johor Bahru, Bandar Baru Uda, Johor Bahru, pada Rabu.

"Saya berniaga kuih raya sepanjang tahun jadi Ramadan dan Aidilfitri memang waktu puncak. Sebelum sempadan dibuka, ramai pelanggan setia dari Singapura ada hubungi dan buat pembelian.

"Mereka beli untuk diri dan juga rakan-rakan serta keluarga. Ada satu pelanggan dari Singapura beli sehingga lebih RM1,000. Kami bersyukur perniagaan boleh kembali seperti biasa dan berharap keadaan ini akan berterusan," katanya.

Dia yang sudah lebih 20 tahun dalam perniagaan kuih raya mendakwa, Nahar Power adalah antara yang terawal berniaga di pusat beli-belah itu dan kini teruja melihat perniagaan kembali rancak seperti mula-mula berniaga dahulu.